
PUTRAJAYA: Dua syarikat pengeluar gula utama di Malaysia, MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) diarahkan untuk memberi laporan harian pengeluaran gula sejak Mei lepas untuk memastikan tidak berlaku gangguan bekalan komoditi itu di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata arahan itu dikeluarkan selepas berlaku krisis gula di beberapa negeri.
Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini hari ini, Salahuddin berkata langkah itu antara lain untuk memastikan bekalan gula mencukupi terutamanya menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha minggu depan.
Selain itu, katanya pihak KPDN akan memantau bekalan gula di pasaran menerusi semakan dengan pihak pemborong dan pembekal, serta membuat tinjauan di kedai runcit dan pasar raya.
“Kita akan pantau dengan serius menjelang Hari Raya Haji ini bagi memastikan bekalan (gula) itu mencukupi,” katanya sambil menambah bekalan gula juga didapati stabil selepas Op Manis dilancarkan pada Mei.
Sebelum ini, media melaporkan kegusaran dalam kalangan rakyat terutamanya di Kelantan susulan kesukaran mendapatkan bekalan gula peket satu kilogram yang didakwa tiada di pasaran pada April lepas.
Salahuddin berkata penguatkuasaan turut ditingkatkan di sempadan negara bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan barangan bersubsidi termasuk gula ke negara jiran.-Bernama



