Dua Tahun Kejar Silibus, Murid OKU Penglihatan Terkejut Raih 9A UPKK

LocalFamily & Parenting
25 Feb 2026 • 7:55 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Nurul Aina Solehah Zainuddin, 12, membuktikan bahawa kekurangan penglihatan bukan penghalang apabila berjaya meraih keputusan cemerlang 9A dalam Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan itu mengakui terkejut namanya diumumkan sebagai antara calon terbaik pada Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2025 yang berlangsung di Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Saidina Uthman bin Affan, hari ini.

“Tak jangka dapat keputusan cemerlang hari ini sebab subjek Akidah susah sikit, saya tidak jangka dapat semua A,” kata Solehah.

image is not available

Murid OKU Penglihatan Terkejut Raih 9A UPKK

Solehah berkata, kejayaannya hasil daripada ulang kaji di rumah dan dorongan penuh daripada guru-guru yang yakin dengan kemampuannya.

Beliau juga berhasrat meneruskan persekolahan dalam aliran Bahasa Arab apabila melangkah ke sekolah menengah dan bercita-cita menjadi seorang guru.

image is not available

Bapanya, Zainuddin Mat Ali, 59, yang juga seorang guru dan cacat penglihatan, menyifatkan kejayaan anaknya sebagai anugerah Allah SWT hasil usaha seluruh keluarga.

“Alhamdulillah, kejayaan ini bukan usaha dia seorang, tetapi sokongan ibunya, ustazah, pihak sekolah dan semua yang terlibat,” katanya.

image is not available

Zainuddin berkata, Solehah hanya mempunyai tempoh kira-kira dua tahun untuk menguasai silibus UPKK, berbanding murid biasa mengikuti kelas KAFA selama lima tahun.

Usaha tambahan termasuk menggunakan rakaman audio, bantuan pembaca, menyalin semula nota, dan mencetak bahan ke tulisan Braille.

image is not available

Ibu Solehah, Latipah Salleh, 45, yang juga guru pendidikan khas, menyifatkan anaknya seorang berdisiplin dan mudah mengikuti arahan.

Artikel lain: 24,761 Calon UPKK 2025 Raih 9A, GPK Nasional Meningkat Ke 1.83

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah dan ustazah KAFA yang sentiasa memastikan Solehah terlibat dalam semua program walaupun menggunakan tulisan Braille.

image is not available

Kejayaan Solehah bukan sekadar angka, tetapi simbol disiplin, sokongan keluarga, dan keyakinan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang kepada kecemerlangan.

Sumber: Kosmo! Online (Amir Haikal Kamarudin), FB Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM,  Berita AlHijrah

The post Dua Tahun Kejar Silibus, Murid OKU Penglihatan Terkejut Raih 9A UPKK appeared first on Borak Daily.