Dua termasuk remaja maut di 'litar' Persiaran Raja Muda Musa

5 Aug 2024 • 3:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kemalangan empat motosikal di Persiaran Raja Muda Musa, Klang, menyebabkan dua penunggang motosikal maut, pada Ahad.

image is not available
Dua penunggang motosikal maut kemalangan dalam kejadian di Persiaran Raja Muda Musa, Klang pada Ahad.

image is not available
Orang ramai berkumpul di lokasi kejadian kemalangan melibatkan empat motosikal di Persiaran Raja Muda Musa, Klang pada Ahad.

image is not available
Hoong Fong

KLANG - Aktiviti kumpulan yang menunggang motosikal secara berbahaya di Persiaran Raja Muda Musa, di sini pada Ahad, berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut kemalangan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi membabitkan empat motosikal jenis Yamaha 125ZR, Yamaha Lagenda 115Z, Yamaha Y16ZR dan Honda RS-X FS150 yang ditunggang secara laju.

Katanya, kemalangan berlaku apabila beberapa kumpulan motosikal terbabit melakukan aksi berbahaya di sepanjang jalan bermula dari Kompleks Sukan Pandamaran menghala ke Pelabuhan Klang serta berpatah balik dengan membuat beberapa pusingan.

"Salah sebuah motosikal yang berada di kumpulan itu bagaimanapun terbabas sebelum dirempuh beberapa motosikal lain.

"Kemalangan itu mengakibatkan dua lelaki berusia 16 dan 21 tahun meninggal dunia. Seorang maut di lokasi kejadian, manakala seorang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, lokasi itu sering dikesan dijadikan litar atau medan golongan remaja terutama pada malam minggu biar pun operasi sudah dilaksanakan polis.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan ity diminta untuk berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Khairul Nizam di talian 010-2452144," ujarnya.