SHAH ALAM- Dua wakil rakyat Pas yang baru sahaja memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 kini menggalas tiga tanggungjawab besar di negeri itu.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, mereka berperanan ‘semak dan imbang’ dalam pentadbiran kerajaan dan memberi pendekatan ‘adil untuk semua’ kepada segenap lapisan masyarakat.
Menurutnya, selain itu sebagai wakil rakyat mereka juga perlu mempamerkan kepimpinan yang berintegriti dan berkebajikan.
"Sejurus menerima berita kemenangan PRN Melaka, Presiden Pas menyatakan keputusan pilihan raya ini membawa mesej yang cukup bermakna, khususnya terhadap keyakinan rakyat kepada usaha penyatuan ummah.
"Di samping itu, ia merupakan harapan rakyat untuk melihat sebuah pentadbiran yang adil, berkebajikan dan memelihara keharmonian masyarakat majmuk.
“Oleh itu, Pas menginsafi besarnya tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat. Keutamaan Pas adalah untuk mengisi kemenangan melalui agenda berkebajikan, berintegriti dan adil kepada semua," katanya menerusi hantaran Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, mandat kerajaan negeri Melaka menjadi milik tunggal Barisan Nasional (BN) setelah disahkan memperoleh majoriti selesa dalam PRN.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengesahkan BN memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.
DUN tersebut adalah Tanjung Bidara, Ayer Limau, Merlimau, Taboh Naning, Durian Tunggal, Lendu, Duyong, Rembia, Sungai Rambai, Kelebang, Kuala Linggi, Machap Jaya, Gadek, Serkam, Telok Mas, Pantai Kundor, Paya Rumput, Rim, Ayer Molek, Pengkalan Batu dan Asahan.
Pakatan Harapan (PH) disahkan memenangi lima kerusi iaitu di DUN Ayer Keroh, Kota Laksamana, Bukit, Kesidang, Bukit Katil dan Bandar Hilir.
Tambah Mohd Syahir, menerusi latar demografi yang rencam dan majmuk di kedua-dua kawasan semi-urban ini, penampilan calon Perikatan Nasional (Pas) membuka ruang penerimaan masyarakat yang lebih luas, merentasi segmen umur, kaum, dan agama.
Jelasnya, keputusan ini memperlihatkan gelombang penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan ( PH) yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin ketara.
"Bermula di Sabah, bersambung di Johor, Negeri Sembilan dan kini Melaka namun kekalahan PH dan sekutunya Bersatu, tidak perlulah diulas lanjut. Bak kata orang dahulu, 'apabila lawan sudah mencium tanah, tidak perlu dipukul lagi'.
"Melangkah ke hadapan, ‘Muafakat Melaka’ perlu diterjemahkan melalui pentadbiran dan khidmat yang manfaatnya dapat dirasai rakyat.
"Insya-ALLAH, dengan gandingan dua Ahli Parlimen, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan barisan Ahli Majlis, penyertaan Pas dalam kerajaan negeri akan memperkukuh usaha dakwah, kebajikan, pendidikan serta perpaduan kaum di Melaka. Ini masa untuk bekerja," ujarnya.






