
TAWAU: Dua wanita masing-masing didenda RM10,000 atau penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis kerana terlibat penyelewengan minyak masak paket.
Palwina Lattif, 35, seorang warga tempatan didapati menyimpan barang kawalan iaitu 288 unit minyak masak paket jenama Sayang dan 51 unit minyak masak paket jenama King.
Tertuduh mengaku salah di hadapan Rosli Ahmad bahawa dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah kayu tidak bernombor di perumahan atas air di Kg Batu, Semporna pada 18 Mac 2023, jam 9.30 malam.
Manakala Tatah Barahim, pemegang dokumen IMM13 didapati menyimpan minyak masak paket cap Kuali sebanyak 357 kilogram (kg) di premis yang tidak dibenarkan pengawal bekalan.
Tertuduh juga mengaku melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh yang sama pada jam 9.50 malam.
Dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 22 (1) Akta 122 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dua lagi tertuduh, Kadir Idris (pemegang dokumen IMM13) dan Nasir Kadir (tiada dokumen) mengaku tidak bersalah dan sebutan kes ditetapkan 15 Mei depan.
Anak-beranak itu didakwa menyimpan minyak masak paket jenama USB berjumlah 1,836kg, minyak masak Cap 3 Udang (1,054 kg), minyak masak jenama Sawit (17kg), minyak masak jenama Ekonomi LSE (1,326kg) dan 44 jerigen berisi minyak petrol (1,100 liter) di premis tidak dibenarkan.
Mereka ditahan di lokasi dan tarikh sama sekitar jam 9.30 malam bersama Palwina dan Tatah.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Semporna, Dr Jong Jee Leong tampil mendakwa, sementara Kadir dan Nasir diwakili peguam Jhasarry P. Kang, manakala Palwina dan Tatah tidak diwakili.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
