Dua warga China antara 16 diberkas samun kilang

LocalPolitics
20 Nov 2024 • 8:46 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seramai 16 individu diberkas dalam kes samun berkumpulan sebuah kilang di Telok Panglima Garang, 9 November lepas.

image is not available
Mohd Sufian

image is not available
Sebilah parang yang dirampas polis untuk siasatan kes samun sebuah kilang di Telok Panglima Garang, 9 November lalu.

KUALA LANGAT - Seramai 16 individu termasuk dua warga China diberkas berkaitan kes samun kilang di Telok Panglima Garang di sini, baru-baru ini.

Tangkapan dilakukan kira-kira jam 3.30 petang, 9 November lepas oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) bersama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintenden Mohd Sufian Amin berkata, kesemua lelaki yang ditangkap berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun.

Katanya, polis telah merampas sepucuk pistol, 20 butir peluru hidup, sebilah parang serta dua kenderaan termasuk lori.

"Semakan mendapati lapan suspek memiliki pelbagai rekod jenayah lampau.

"Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti penglibatan semua suspek untuk tindakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam kejadian pada 9 November itu, satu laporan diterima daripada seorang pengurus kilang di Telok Panglima Garang yang memaklumkan sekumpulan lelaki bertindak merampas kepingan logam dan barang lusuh, kira-kira jam 2.30 petang.

Barang itu telah dimuatkan ke atas sebuah lori yang dibawa kumpulan suspek terbabit.