Duda didenda RM4,000 guna dokumen palsu dapatkan darjah kebesaran

LocalPolitics
25 Oct 2024 • 1:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohamad Nizam (dua dari kiri) didenda RM4,000 di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.

image is not available
Mohamad Nizam (dua dari kiri) dan rakannya Shahrizan (tiga dari kiri) ketika dibawa keluar dari mahkamah majistret pada Jumaat.

MELAKA - Gara-gara menggunakan dokumen palsu sebagai kelulusan bagi mendapatkan darjah kebesaran kerajaan negeri, menyebabkan seorang duda didenda RM4,000 di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Nizam Abdul Ghani, 46, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, dia didapati telah menggunakan dokumen palsu iaitu satu surat kelulusan bagi anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) atas nama tiga individu dengan niat untuk menipu.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor 27, di Taman Paya Rumput Perdana, di sini, pada jam 11.06 malam, 21 September lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam Kent Tan Chow Teng yang mewakili tertuduh merayu jaminan dikurangkan kerana tertuduh yang merupakan duda anak empat hanya bekerja sendiri dengan pendapatan tidak tetap.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula fakta kes serta semakan hukuman selain mengarahkan tertuduh membayar jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.

Dalam prosiding sama, rakan tertuduh, Shahrizan Sahauddin, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memalsukan dokumen yang sama atas nama tiga individu di tempat dan tarikh yang sama.

Dia didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan boleh di penjara maksimum dua tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.

Hanis Aliah mencadangkan jaminan RM10,000 ke atas tertuduh namun peguam Helmi Hasan yang mewakili tertuduh, merayu jaminan rendah kerana anak guamnya yang bekerja di sebuah syarikat kargo perlu menyara ibu bapa yang uzur.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan kes semula bagi serahan dokumen pada 12 Disember depan.