Duduk rumah tetap boleh bekerja di kafe

WorldTechnology
6 Oct 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Duduk rumah tetap boleh bekerja di kafe

Dalam dunia yang kian bergantung pada teknologi, inovasi bukan lagi sekadar memudahkan urusan harian, tetapi bertindak sebagai agen perubahan yang membuka peluang tanpa batas kepada manusia.

Ia dimanfaatkan untuk memperkaya kehidupan sosial dan memberi kesempatan kedua dalam kerjaya sekali gus mentransformasikan taraf hidup golongan tertentu seperti kurang upaya atau pesakit terlantar.

Konsep tersebut dapat dilihat di DAWN Avatar Robot Café di Tokyo, Jepun yang menggunakan robot sebagai pengantara di antara pekerja dari jarak jauh misalnya di rumah atau hospital mahupun di luar negara dengan pelanggan di premis.

Teknologi ini memberi ruang kepada individu yang mempunyai keterbatasan fizikal atau sukar meninggalkan kediaman untuk bekerja sebagai pelayan kafe.

Usaha tersebut memperlihatkan bagaimana kemajuan teknologi boleh dimanfaatkan bukan hanya untuk kecekapan tetapi juga mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif dan memberi peluang kepada semua.

Terletak di tengah-tengah kawasan Nihonbashi, kafe tersebut tampil berbeza apabila terdapat beberapa buah robot comel dengan kemampuan automasi hasil teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ia dikawal oleh manusia secara jarak jauh yang mungkin berada di lokasi beratus kilometer jauhnya dari kafe atau terbaring di atas katil kerana mengalami kesukaran untuk bergerak.

Menurut Pengasasnya, Kentaro Yoshifuji di Plan Viaja, pengalaman menjalani rawatan di rumah sekitar empat tahun menjadi inspirasi untuk membuka kafe robotik itu.

Image from: Duduk rumah tetap boleh bekerja di kafe
Robot kecil bersaiz 21.5sm di atas meja bertindak melayan dan mengambil pesanan pelanggan.

Nekad mempelajari selok-belok robotik, dia sekali gus mengasaskan Ory Laboratory dengan satu visi iaitu mencipta teknologi yang membolehkan setiap individu menyertai masyarakat, berkenalan dengan orang baharu dan memperoleh pendapatan tanpa mengira batasan fizikal.

“Sewaktu mendapat rawatan dan perlu berada di rumah, saya tidak bertemu dengan rakan sebaya dan membuatkan saya kurang berkomunikasi melainkan banyak merenung siling setiap hari.

“Kesepian itu membakar semangat untuk membangunkan ‘tubuh kedua’ bagi membolehkan individu yang mempunyai batasan pergerakan untuk kekal bersama dengan komuniti meskipun terpisah jauh oleh jarak,” katanya.

Terdapat 20 buah robot yang beroperasi secara serentak di dalam kafe pada satu-satu masa. Robot tersebut dikawal oleh lebih 80 kakitangan yang menguruskannya dari luar premis dipanggil pilots.

Rata-rata kakitangan tersebut merupakan individu dari dalam kalangan kurang upaya fizikal atau pesakit terlantar.

Memetik Japan For Kids, terdapat dua jenis robot utama yang digunakan untuk melayani pelanggan iaitu OriHime yang memiliki saiz sebesar komputer riba.

Robot yang memiliki ketinggian sekitar 21.5 sentimeter itu dibina dengan saiz kecil dan ringan supaya mudah diletakkan di atas meja makan tanpa menghalang pandangan.

Ditempatkan di lokasi tertentu seperti meja makan khas dan kaunter minuman, OriHime lebih fokus kepada menyapa, mengambil pesanan serta berbual dengan pelanggan.

Dilengkapi dengan kamera, mikrofon dan pembesar suara, pengendali boleh melihat serta mendengar pelanggan sekali gus berbual secara masa nyata atau menerangkan menu.

Image from: Duduk rumah tetap boleh bekerja di kafe
Salah satu robot barista digital di kafe tersebut.

Robot ini akan mengambil pesanan pelanggan selain mampu menunjukkan ekspresi melalui gerakan fizikal dengan kepala yang boleh bergerak (menoleh, mendongak, menunduk) dan tangan melambai-lambai untuk meniru bahasa tubuh manusia.

Selain itu, ada robot menjadi barista digital di bahagian bar kafe. Terdapat versi OriHime yang disambungkan pada mesin kopi khas. Pengendali yang mempunyai kepakaran sebagai barista boleh mengawal robot untuk membancuh kopi penapis mengikut permintaan pelanggan.

Kemudian robot jenis humanoid atau bersaiz besar dengan ketinggian 120 sentimeter dilengkapi roda untuk bergerak bernama OriHime-D.

Ia bertanggungjawab untuk tugas fizikal seperti membawa dulang, menghantar makanan dan minuman terus ke meja pelanggan serta menyambut tetamu di pintu masuk kafe.

Image from: Duduk rumah tetap boleh bekerja di kafe
suasana di dalam kafe DAWN Avatar Robot Cafe, Tokyo, Jepun.

Pengendali robot bahkan difahamkan tidak hanya tertumpu dari sekitar Jepun sahaja kerana difahamkan terdapat juga dari negara Australia, Denmark dan Amerika Syarikat.

Mereka adalah individu yang hidup dengan ALS (Amyotrophic Lateral Sclerosis), atrofi otot tulang belakang, sklerosis berbilang atau keadaan lain yang menyukarkan pergerakan keluar dari rumah.

Bagi Fujita, pelayan kopi yang menghidap ALS, perkhidmatan barista digital di kafe tersebut memberinya peluang kembali menyediakan kopi sekali gus berinteraksi dengan orang lain.

“Saya diselamatkan daripada rasa kesepian apabila saya kekal berhubung dengan orang di luar, melakukan sesuatu untuk mereka dan melihat senyuman mereka.

“Bekerja sebagai barista digital tidak hanya memberi pengalaman baharu tetapi membantu secara emosi apabila saya berpeluang untuk bekerja dan tetap melakukan sesuatu meskipun pergerakan fizikal terbatas,” katanya.

Tetamu juga boleh memilih pelbagai pakej daripada OriHime Diner di mana sebuah robot akan dikhaskan untuk melayan pelanggan di meja selain berpeluang merasai pengalaman berinteraksi dengan barista digital sambil menyaksikan bagaimana robot-robot menyediakan minuman di bar.

Bayaran memasuki kafe bermula sekitar ¥2,200 (RM65 hingga RM70) untuk dewasa, manakala kanak-kanak (berusia 4 hingga 11 tahun) ¥1,100 (RM32 hingga RM35) dan kanak-kanak (3 tahun ke bawah) percuma.

Meskipun menampilkan kecanggihan teknologi robotik sebagai juruhidang, namun kafe ini tetap mengguna khidmat tukang masak manusia dalam menyediakan makanan pelanggan.

The post Duduk rumah tetap boleh bekerja di kafe appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved