
ALOR SETAR – Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan ibunya sendiri, seorang eksekutif operasi bank, ditahan polis ketika dalam perjalanan menuju ke Selangor baru-baru ini.
Kes berkenaan bukan sahaja mengejutkan masyarakat, malah turut memberi kesan emosi kepada kenalan lama suspek apabila mengetahui individu yang didakwa terlibat merupakan rakan sepersekolahan mereka.
Menerusi satu perkongsian di platform Threads @meilayusof, dia yang mengaku mengenali suspek sejak sekolah rendah meluahkan rasa terkejut dan sedih selepas membaca berita “anak tikam mak”, sebelum menyedari individu tersebut adalah rakannya sendiri.
Menurutnya, suspek dikenali sebagai pelajar yang bijak, nakal namun penyayang terhadap keluarga.
“Imagine baca berita ‘anak tikam mak’, rupanya suspek kawan sekolah rendah sendiri. Dulu hang budak pandai, nakal sikit tapi aku tahu hang sayang keluarga,” tulisnya.
Tambahnya, berdasarkan pemerhatiannya di media sosial, hubungan suspek dengan ibu serta adik-beradik kelihatan rapat, malah keluarga mereka sering mengenakan pakaian sedondon setiap kali musim perayaan.
Ibu besarkan enam anak sendirian
Perkongsian itu turut menzahirkan simpati terhadap arwah ibu yang difahamkan membesarkan enam anak termasuk dua orang anak kurang upaya (OKU) tanpa suami.
Katanya, ramai menyangka bekerja di bank menjamin kehidupan senang, namun realitinya tanggungjawab membesarkan keluarga besar seorang diri bukan perkara mudah.
Difahamkan juga, anak sulung keluarga berkenaan dipercayai menanggung tekanan kewangan sehingga terpaksa berhutang, selain membesar tanpa figura bapa.
Netizen mula kecam, ada buat andaian
Bagaimanapun, ruangan komen menyaksikan pelbagai reaksi apabila ada netizen melemparkan kecaman terhadap suspek, termasuk membuat tuduhan penggunaan dadah serta gelaran ‘anak derhaka’.
Malah, ada juga yang membuat spekulasi bahawa kejadian mungkin berpunca daripada hutang along dan tekanan hidup.
Menurut individu berkenaan, ujian air kencing suspek dilaporkan negatif dadah, manakala ibu bapanya telah lama berpisah.
“Bukan nak pertahankan, cuma ingatkan jaga kata-kata”
Dalam pada itu, pemilik hantaran berkenaan menegaskan perkongsiannya bukan bertujuan mempertahankan perbuatan suspek, sebaliknya sekadar mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika meninggalkan komen.
“Kes ini biarlah mahkamah tentukan. Saya cuma nak kita lebih beradab dan doakan keluarga yang ditinggalkan.”
Beliau turut mengajak orang ramai mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman, manakala adik-beradik mangsa terus diberi kekuatan menghadapi kehidupan, terutama yang masih bersekolah dan memerlukan perhatian.
Kronologi Kes: Ibu maut ditikam, anak ditahan kurang 24 jam ketika cuba ke Selangor
Terdahulu, mangsa dikenali sebagai Zahrullail Basir, 52, ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman di kediamannya di Taman Sultan Abdul Halim, Kota Setar. Suspek berusia 28 tahun diberkas kurang 24 jam kemudian ketika menaiki bas di Kilometer 441.5 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan dalam perjalanan menuju Selangor hasil operasi Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kedah dan IPD Kota Setar.
Suspek kemudiannya direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Alor Setar bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Ujian saringan awal air kencing didapati negatif, manakala Polis Diraja Malaysia menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan. Jika sabit kesalahan, suspek boleh berdepan hukuman mati atau pemenjaraan antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan. – The Malaysian Update
The post “Dulu Budak Baik, Sayang Keluarga” – Rakan Sekolah Luah Rasa Sedih Kes Anak Bunuh Ibu appeared first on The Malaysian Update.



