Dulu gelap kini sudah terang

19 Nov 2026 • 8:55 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dulu gelap kini sudah terang

PONTIAN – Seramai 80 penduduk di Simpang Benteng Kiri Chokoh Laut, Serkat, di sini, bersyukur kerana 17 batang lampu jalan solar mula menerangi laluan yang sebelum ini gelap.

Ketua Kampung Kawasan (2) Mukim Serkat, Ahmad ­Shuib Ha­sanudin berkata, jalan tersebut juga digunakan oleh masyarakat nelayan untuk turun ke laut pada waktu malam.

“Keadaan simpang pada waktu malam amat gelap dan berbahaya kepada orang ramai ter­utama penunggang motosikal dan pemandu kenderaan.

“Lampu solar ini dapat me­ngurangkan kebimba­ngan penduduk yang keluar pada waktu malam terutama risiko ancaman binatang liar seperti babi hutan, ular dan sebagainya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Katanya, selain golongan nelayan, ibu bapa yang menghantar anak-anak ke Sekolah Kebangsaan Sinaran Chokoh pada awal pagi juga menerima manfaat.

“Tiada lagi rungutan ibu bapa pada waktu pagi apabila menghantar anak-anak mereka de­ngan motosikal kerana keadaan jalan tidak lagi gelap seperti sebelum ini,” ujarnya.

Seorang nelayan, Mohd. Yaakob Wahid, 35, berkata, kemudahan itu telah memudahkan golongan sepertinya membawa peralatan seperti enjin bot dan jaring untuk ke laut.

“Ia dapat mengelakkan kemalangan ketika berselisih kerana sepanjang jalan itu telah ditera­ngi pada waktu malam.

“Alhamdullilah kami nelayan tidak lagi bimbang untuk turun ke laut, kadangkala pada tengah malam atau awal pagi berdasarkan kepada keadaan air pasang hari tersebut,” ujarnya.

Sebelum ini, sebanyak 3,833 unit Lampu Jalan Kampung Solar diperuntuk bagi tahun 2026 menerusi inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi meningkatkan kemudahan serta keselamatan penduduk khusus­nya di kawasan luar bandar.

The post Dulu gelap kini sudah terang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved