Dulu ikut ibu cari kain, kini ada bisnes pakaian

Business & FinanceWomen's Fashion
4 Sep 2026 • 11:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dulu ikut ibu cari kain, kini ada bisnes pakaian

SIAPA sangka, minat mendalam terhadap dunia fesyen sejak berusia lapan tahun akhirnya membawa Khairin Athirah Mohd. Khairi, 25, membina jenama fesyen sendiri yang kini semakin dikenali ramai.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pengurusan Risiko dan Takaful) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu mula mengorak langkah dalam perniagaan pada penghujung 2020, ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19.

Lebih menarik, minatnya terhadap fesyen bukan sekadar lahir daripada kecenderungan terhadap pakaian, sebaliknya mula berputik selepas sering membantu perniagaan jahitan ibunya sejak kecil.

Menurut wanita yang mesra disapa Khairin itu, sejak darjah dua, dia sering mengikut ibunya mencari kain dan membantu proses menghasilkan pakaian termasuk ketika ibunya sibuk menyiapkan tempahan hingga lewat malam.

“Saya memang selalu ikut ibu pergi cari kain dan buat kerja. Kalau malam raya, orang lain berseronok tetapi ibu masih menjahit dan saya antara yang menemaninya.

“Dari situ, saya mula kenal dunia fesyen dan belajar asas menjahit. Ketika darjah tiga pula, saya sudah mula mahir menghasilkan jahitan renda (lace),” katanya.

Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Khairin mengambil peluang mendalami ilmu perniagaan secara kendiri dengan menghabiskan masa membuat penyelidikan mengenai industri fesyen.

Katanya, dia mencari maklumat berkaitan pembekal kain, pengeluaran pakaian, penghantaran dan kaedah menguruskan perniagaan menerusi internet.

“Saya tengok juga podcast pemilik perniagaan dan bagaimana mereka menguruskan perniagaan. Saya tengok perjalanan mereka dan fikir, saya pun mahu capai perkara yang sama,” katanya.

Image from: Dulu ikut ibu cari kain, kini ada bisnes pakaian
KHAIRIN bergambar bersama produk tempahan pelanggannya yang ingin dipos.

Dengan modal awal hanya RM2,000, Khairin memulakan perniagaan dengan menjual tudung menerusi media sosial miliknya.

Pada peringkat awal, dia hanya menawarkan dua warna iaitu hitam dan nude, sebelum permintaan pelanggan mendorongnya menambah pilihan warna.

Katanya, pengalaman menjual tudung itu menjadi asas penting dalam membina komuniti pelanggan, sebelum dia mengembangkan perniagaan kepada pakaian.

“Pernah satu hari, saya buat sehingga 30 penghantaran dan itu merupakan pesanan terbanyak yang diterima oleh saya.

“Ketika itu, saya mula nampak pelanggan sudah ada dan asas perniagaan semakin kukuh,” katanya.

Bagaimanapun, titik perubahan besar Khairin berlaku pada 2021 apabila dia mula menghasilkan pakaian iaitu baju kardigan.

Selepas menghasilkan kandungan video bersama pakaian jenamanya, Khairrins di sekitar Kuala Terengganu termasuk di kawasan Jambatan Angkat.

Menariknya, video berkenaan mendapat sambutan luar biasa sehingga ramai bertanyakan mengenai pakaian jenamanya.

Kemudian, Khairin membuka tempahan secara rasmi dan menerima lebih 300 pesanan daripada pelanggan.

Namun, dia hanya mampu mengambil 30 tempahan pada peringkat awal kerana kapasiti pengeluaran yang terhad.

Kemudian, kejayaan baju berkenaan menjadi titik penting dalam perkembangan Khairrins apabila jualan yang sebelum itu hanya pada skala kecil meningkat sehingga mencecah RM10,000 dalam tempoh singkat.

Rentetan itu, dia mula mengambil pekerja sambilan, membangunkan laman web sendiri, menyediakan khidmat pelanggan dan memperkemas kawalan kualiti sebelum memperluaskan rangkaian produk.

Bermula dengan tudung, Khairrins kemudian menghasilkan baju kardigan, kemeja-T, sweatshirt dan koleksi pakaian yang direka sendiri.

Menurut Khairin, dia sentiasa memastikan setiap produk yang dihasilkan mempunyai identiti tersendiri, dan tidak sekadar mengikut trend semasa.

“Saya ambil masa untuk kaji sesuatu produk. Ada produk yang mengambil masa sehingga enam bulan untuk dibangunkan, daripada pemilihan fabrik, sampel, pengeluaran hingga menguji ketahanan kain.

“Saya tidak boleh lihat sesuatu yang viral hari ini, dan terus hasilkan produk pada hari sama. Saya mahu ambil trend itu, tetapi masukkan karakter Khairrins,” katanya.

Antara kejayaan terbesar Khairrins adalah apabila salah satu koleksi gaun labuh bertemakan era Bridgerton mencatat kira-kira 1,000 tempahan hanya dalam satu malam.

Koleksi itu juga menjadi pelancaran pertama Khairrins yang mencatat jualan enam angka dalam satu malam, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran fesyen tempatan.

Kini, gaun labuh berkenaan menjadi produk teras Khairrins, selain beberapa koleksi lain yang turut mendapat sambutan pelanggan.

Katanya, sehingga kini, Khairrins sudah menghasilkan lebih 100 produk dan akan terus mengembangkan operasi secara berperingkat.

Khairin memaklumkan, perkembangan itu turut membolehkannya mendapatkan fabrik berkualiti dari luar negara, termasuk China, selain bekerjasama dengan pengeluar antarabangsa yang dianggap sebagai rakan penting.

Menurutnya, kejayaan yang dicapai hari ini bukan alasan untuk bergerak terlalu pantas, sebaliknya setiap langkah perlu disertai ilmu dan perancangan bagi mengawal risiko.

Katanya, dia sentiasa menetapkan sasaran harian, mingguan dan bulanan dalam menguruskan perniagaan, selain mempunyai garis masa khusus untuk pembangunan setiap produk.

“Saya bukan jenis yang mahu terus berkembang secara mendadak. Saya mahu langkah demi langkah kerana saya perlu ada ilmu dahulu.

“Kalau sesuatu berlaku, sekurang-kurangnya saya tahu bagaimana hendak menguruskannya,” katanya.

Menariknya, Khairin bukan sekadar mahu membina perniagaan, sebaliknya dia menyimpan impian untuk membawa jenama Khairrins keluar dari Terengganu dan bertapak di Kuala Lumpur dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, Kuala Lumpur dilihat mempunyai pasaran dan peluang lebih luas terutama dari segi penyertaan dalam acara, pameran, aktiviti promosi dan membina jaringan industri fesyen.

The post Dulu ikut ibu cari kain, kini ada bisnes pakaian appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved