'Dulu, kini, selamanya' - Hishammuddin syukur kembali kepada UMNO

LocalPolitics
18 Apr 2026 • 2:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Dulu, kini, selamanya' - Hishammuddin syukur kembali kepada UMNO
Hantaran Facebook Hishammuddin pada Sabtu.

SHAH ALAM - Selepas tiga tahun melalui tempoh penggantungan, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akhirnya kembali ke dalam UMNO apabila Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu menarik semula tindakan tersebut

Melalui hantaran Facebook, bekas Naib Presiden UMNO itu menzahirkan kesyukuran atas keputusan berkenaan dan berikrar untuk terus berjuang serta berkhidmat kepada parti.

"Alhamdulillah, MKT UMNO telah menarik semula penggantungan saya selepas tiga tahun. Saya akan terus berjuang dan berkhidmat, memikul amanah dengan komitmen dan prinsip.

"Dulu, kini, selamanya,” katanya pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu bersetuju menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti atas apa jua faktor.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat MKT UMNO yang berlangsung di Melaka.

Menurutnya, antara nama pemohon yang telah diputuskan oleh MKT termasuk Hishammuddin, Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Syed Hamid Albar.

Pada Mac lepas, Hishammuddin menyatakan kesediaan untuk terus berjuang dalam UMNO dan menegaskan tidak pernah keluar parti meskipun digantung selama tiga tahun.