Dulu penolong jurutera, kini ceburi ekosistem keterjaminan makanan

LocalBusiness & Finance
20 Aug 2026 • 8:10 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dulu penolong jurutera, kini ceburi ekosistem keterjaminan makanan

KAMPAR: Meninggalkan kerjaya dengan pendapatan yang lumayan sebagai seorang penolong jurutera sebuah syarikat swasta untuk menceburi ekosistem keterjaminan makanan negeri di Kampung Air Papan di sini bukan sekadar satu pilihan tepat tetapi menjamin kestabilan kewangan berterusan.

Menurut Asmadi Ahmad @ Che Amat, 45, dia tidak sesekali menyesal dengan pilihannya itu tetapi penglibatannya dalam industri perikanan, penternakan lembu berkualiti tinggi, ayam organik, bebiri, tanaman pisang dan kelapa pandan serta perniagaan haiwan ruminan bakar atau berbeku menjamin kitaran kewangan yang stabil mencecah lima angka setiap bulan.

“Saya bermula sebagai seorang peniaga di pasar malam pada 2008 dengan modal sebanyak RM3,000 dan sebuah generator yang diberikan oleh bekas majikan. Dia yang memberi galakan dan mengingatkan apa sahaja bidang yang diceburi perlu dilakukan bersungguh-sungguh selain niat membantu orang lain.

“Tidak lama selepas itu, saya mendapat tapak berniaga barangan basah iaitu ikan di Pasar Awan Tanjung Tualang di Batu Gajah hasil kelulusan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) yang menyebabkan boleh menjadi pembekal ikan kepada peniaga pasar dan restoran-restoran terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kata ayah kepada lima zuriat ini, prospek masa depannya semakin cerah apabila mempunyai premis sendiri di rumahnya di Kampung Air Papan pada 2021 selain menerima bantuan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang merupakan sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Pegawai LKIM telah ‘menyiasat’ saya sejak berniaga di pasar awam lagi selain memastikan membekalkan ikan yang berkualiti kepada pelanggan. Sebaik sahaja berpindah ke premis sendiri, agensi tersebut telah memberikan geran berbentuk peralatan seperti bangunan untuk berniaga, lantai, tangki ikan, pendawaian elektrik serta peralatan-peralatan lain.

“Saya menjadi pemborong ikan air tawar yang membeli ikan-ikan seperti lampam, haruan, puyu, patin, rohu dan tongsan daripada 16 nelayan darat dan pemancing separuh masa dan sepenuh masa. Lapan daripada mereka merupakan nelayan darat yang mendapat bantuan Jabatan Perikanan melalui Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) selain bantuan jala, bot dan sebagainya membolehkan nelayan tersebut menjana pendapatan berterusan stabil mencecah empat angka sebulan,” katanya.

Jelasnya, ada daripada pembekal tersebut yang bekerja di sektor awam, swasta malah pesara yang menangkap ikan semasa cuti untuk mendapat wang tambahan.

“Biasanya, pendapatan mereka sekitar RM40 hingga RM125 untuk sekali jualan malah ada pesara kerajaan yang menangkap ikan dengan konsisten boleh mendapat sehingga empat angka sebulan selain ada yang mengumpul wang untuk menunaikan ibadah umrah selain tambahan untuk kenduri perkahwinan anak-anak.

“Bagi saya pula, pendapatan kasar sebagai pemborong ikan ini boleh mencecah sehingga RM6,000 sebulan. Tiada hari bercuti kecuali pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha dan pelanggan biasanya boleh WhatsApp atau telefon saya untuk menghantar dan mengambil tempahan ikan tidak mengira pagi atau malam,” katanya.

Asmadi membekalkan ikan kepada peniaga restoran, pasar mini sekitar Kampar, Batu Gajah sehingga Ipoh.

Perkembangan itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche Daerah Kampar iaitu tumpuan utama ialah pertanian dan perikanan.

Bantuan itu juga selaras dengan flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan flagship kelima, Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan.

Dia juga mempunyai sijil pentauliahan sembelihan haiwan ruminan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). – UTUSAN

The post Dulu penolong jurutera, kini ceburi ekosistem keterjaminan makanan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved