‘Dulu Penyokong, Sekarang Saya Musuh Nombor 1 Muhyiddin’ - Hamzah

LocalPolitics
14 Feb 2026 • 7:43 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Pemecatan sebagai Timbalan Presiden BERSATU nyata tidak melemahkan semangat Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk terus berpolitik, malah nadanya semakin ‘keras’ dan lantang.

Hari ini, Ahli Parlimen Larut itu secara terbuka mengisytiharkan dirinya sebagai musuh nombor satu Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden parti berkenaan.

Berucap pada Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di sini, Hamzah berkata, statusnya sebagai penyokong nombor satu Muhyiddin sudah berubah.

“Dalam Mesyuarat Agung Tahunan (PAT) saya berdiri dan berkata saya penyokong nombor satu Presiden. 

“Hari ini saya ingin memberitahu anda, saya penentang nombor satu beliau,” katanya, keras.

Tegas Hamzah, pemecatannya daripada parti adalah atas sebab yang sama sekali tidak diketahui. 

"Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam PAT. Saya ingin memaklumkan kepada semua orang, saya tidak tahu mengapa saya dipecat.

"Hari ini saya dipecat kerana tidak mengawal perkara yang saya tidak tahu. Hantu apa yang ada dalam parti ini sekarang?” soalnya.

Memilih untuk terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bebas, beliau juga memutuskan tidak akan membuat rayuan walaupun diberi tempoh 14 hari untuk berbuat demikian.

“Saya memohon maaf kepada rakan-rakan saya kerana tidak kembali ke parti, saya tidak akan merayu selepas apa yang telah dilakukan kepada saya,” katanya.

Jelas Hamzah, keputusan Lembaga Disiplin untuk memecatnya diterima dengan terbuka dan tidak akan dicabar. 

“Apa yang kita perlukan sekarang ialah penetapan semula. Kita perlu mengubah hala tuju demi rakyat dan tidak boleh terus menjadi penjilat,” katanya.

Tegasnya, rakyat mahukan kepimpinan yang bertunjang kepada kecekapan dan integriti, bukan keturunan atau gelaran.

“Rakyat mahukan pemimpin yang baik yang boleh dipercayai dalam memimpin jalan untuk masa depan yang lebih baik,” katanya. - Getaran, 14 Februari 2026