DUN Perlis, Pahang Bubar Hari Ini

LocalPolitics
14 Oct 2022 • 11:30 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
DUN Perlis dibubarkan berkuat kuasa hari ini. - Gambar Bernama

KANGAR - Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perlis ke-14 berkuat kuasa hari ini.

Azlan berkata pembubaran DUN itu telah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya beliau dan Speaker DUN Perlis Datuk Hamdan Bahari telah menghadap Raja Perlis di Galeri Diraja Arau pada pukul 3 petang semalam dan menyembah maklum memohon pembubaran DUN Perlis.

"Alhamduillah baginda telah memberi perkenan dan tarikh pembubaran DUN berkuat kuasa hari ini," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Sementara itu, di Pahang, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan pembubaran DUN Pahang ke-14 berkuat kuasa hari ini, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan PRU-15. 

Wan Rosdy berkata beliau telah menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi  mendapatkan perkenan pembubaran DUN itu.

Beliau berkata selaras dengan Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Tengku Hassanal telah berkenan agar DUN Pahang Ke-14 dibubarkan berkuat kuasa pada hari ini. 

“Tarikh hari ini dipilih bagi membolehkan pembentangan serta perbahasan mengenai Belanjawan 2023 Negeri Pahang disempurnakan terlebih dahulu, sekali gus mendapat kelulusan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Wisma Sri Pahang di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan semua anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang. - Bernama