DUN Selangor: Pembangunan Fasa 1 Rel Selangor ambil masa 10 tahun

LocalBusiness & Finance
12 Aug 2026 • 10:52 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Rel Selangor

SHAH ALAM: Pembangunan fasa 1 jajaran rel di Selangor (Rel Selangor) dijangka mengambil masa sehingga 10 tahun.

Tempoh tersebut merangkumi proses seperti penyediaan reka bentuk awalan, kajian terperinci, kelulusan skim kereta api oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), perolehan, pengambilan tanah, kerja-kerja pembinaan serta ujian dan pentauliahan.

Exco Pelaburan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 2060 yang merangkumi fasa akhir, namun tertakluk kepada fasa-fasa yang dirancang.

“Kerajaan negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MB) selaku jawatankuasa teknikal pembangunan sedang meneliti dan mengenal pasti model pembangunan dan pembiayaan yang paling bersesuaian.

“Berdasarkan kebolehlaksanaan yang dilaksanakan, fasa 1 pembangunan Rel Selangor dijangka mengambil masa sehingga 10 tahun,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) berhubung hala tuju pembangunan projek Rel Selangor.

Dalam soalan tambahannya, Mariam turut meminta kerajaan negeri memaklumkan penyertaan syarikat swasta dalam pembangunan projek tersebut termasuk pembiayaannya.

Sze Han (PH-Kinrara) memberitahu, sehingga kini kerajaan negeri sedang berbincang dengan pelbagai agensi swasta untuk mencari kaedah bersesuaian bagi pembinaan Rel Selangor.

“Projek berskala besar seperti itu sudah tentu melibatan kerajaan dan agensi swasta. Jadi, buat masa ini masih dalam peringkat perbincangan untuk mendapatkan satu kaedah yang bersesuaian dan paling menguntungkan negeri ini,” ujarnya.

Pada 2024, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan negeri mengenal pasti kawasan bagi jajaran rel yang meliputi kawasan Sabak Bernam dan merentasi Sepang sehingga Negeri Sembilan sepanjang 211 kilometer (km).

Laluan itu disokong oleh kemudahan dan kawasan ekonomi seperti Pelabuhan Barat, Klang, Putra Height dan Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cadangan pengangkutan rel itu dinamakan sebagai Jajaran Rel Kita Selangor yang sedang dikenal pasti kebolehlaksanaan projek tersebut melalui satu kajian yang dijangka selesai pada Januari 2025.

Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan pembukaan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam yang menyambungkan jajaran antara Johan Setia, Klang, Bandar Raya Shah Alam dan Bandar Utama, Petaling Jaya. – UTUSAN

The post DUN Selangor: Pembangunan Fasa 1 Rel Selangor ambil masa 10 tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved