DUN Seri Serdang agih 800 baucar Jom Shopping kepada penduduk

LocalSales & Promo
15 Mar 2026 • 6:22 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SUBANG JAYA, 15 MAC: Seramai 800 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang menerima baucar Jom Shopping bernilai RM200 sempena Aidilfitri.

Wakil rakyatnya, Abbas Salimi Azmi berkata, daripada jumlah tersebut, 50 peratus penerima terdiri daripada golongan belia berusia antara 18 hingga 40 tahun.

“Secara keseluruhan, kita menerima kira-kira 2,000 permohonan, namun selepas proses semakan kelayakan dilakukan, 800 pemohon dipilih sebagai penerima.

“Penerima program ini dipilih dalam kalangan mereka yang memenuhi syarat kelayakan ikut pendapatan dan tidak menerima bantuan lain, seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE) serta Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS).

“50 peratus penerima di kalangan belia membabitkan 400 baucar manakala antara 150 hingga 200 diperuntukkan untuk pemandu e-hailing,” katanya dalam sidang media pada majlis serahan baucar di Pasar Raya NSK 3 Elements di Seri Kembangan.

image is not available
ADN Seri Serdang Abbas Salimi Azmi bercakap kepada media ketika Majlis Penyerahan Baucar Jom Shopping Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2026 di Pasaraya NSK Seri Kembangan, Subang Jaya pada 15 Mac 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pada majlis sama, Abbas memaklumkan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menyalurkan sumbangan wang tunai RM150 kepada 20 penduduk wanita yang memerlukan di Seri Serdang.

“Inisiatif ini merupakan usaha kebajikan yang digerakkan oleh isteri Dato’ Menteri Besar yang juga Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Mohamad bagi membantu golongan wanita yang memerlukan sokongan tambahan,” ujarnya.

Terdahulu, EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu Veraman memaklumkan 38,400 baucar Program Jom Shopping Perayaan Aidilfitri akan diagihkan kepada penerima layak tahun ini, membabitkan peruntukan RM7.68 juta.

Beliau berkata pengagihan baucar tersebut melibatkan 56 DUN di seluruh Selangor bagi membantu golongan sasar membuat persiapan menjelang perayaan.

Menurutnya, tempoh penggunaan baucar turut dilanjutkan sehingga 20 Mac, berbanding tarikh asal 18 Mac, bagi memberi ruang kepada masyarakat Islam membuat persiapan dan berbelanja menjelang Aidilfitri.