Duopharma sasar kembangkan portfolio produk di Singapura bagi memacu aktiviti, peluang perniagaan
diyana
28/06/2023 - 14:49
KUALA LUMPUR 28 Jun - Duopharma Biotech Berhad telah menyasarkan untuk mengembangkan portfolio di Singapura, sejajar dengan komitmennya menyediakan produk pada harga berpatutan dan mudah didapati.
Syarikat farmaseutikal itu menjelaskan bahawa ia akan menumpukan kepada memperkenalkan produk biosimilar, serta makanan dan kosmetik mampan berasaskan tumbuhan, sebagai tambahan kepada segmen lain seperti peranti perubatan, integrasi digital komersial, penyelesaian penjagaan kesihatan inovatif, telepemasaran dan banyak lagi.
Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar mengulas bahawa objektif utama kumpulan adalah memenuhi keperluan pesakit dan pengguna dengan menjadikan produk tersedia, mudah didapati dan mampu dimiliki oleh pelbagai lapisan pelanggan, termasuk tawaran dalam perubatan pencegahan dan pengesanan awal.
“Bagi manfaat tambahan kepada pesakit dan pengguna Muslim kami, semua produk yang dikeluarkan di fasiliti kami disahkan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Malah, Duopharma merupakan pengeluar pertama ubat kanser yang disahkan halal pertama di dunia,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini yang mengumumkan pembukaan pejabat baharu di Kota Singa itu.
Duopharma berkata ia telah melancarkan pejabat serantau baharunya di German Centre, Singapura yang mempunyai peranan penting dalam mencatat jejak serantau dan antarabangsa kumpulan, memacu aktiviti dan peluang perniagaan.
“Walaupun Duopharma Biotech telah berkembang ke Filipina pada 2007 dan menubuhkan anak syarikat milik penuh di Indonesia pada April 2023, Singapura kekal sebagai hab utama bagi syarikat itu,” katanya.

Menurut kumpulan itu, sebagai hab pertumbuhan utama, pejabat baharu itu juga mencerminkan peningkatan jejaknya sekali gus mengukuhkan kedudukan di rantau ini.
Tambahnya, pejabat itu akan berfungsi sebagai hab operasinya, memudahkan khidmat sokongan pelanggan dan memupuk kerjasama lebih erat dengan rakan kongsi tempatan, serta memacu aktiviti perniagaan serantau dan global dengan memanfaatkan reputasi Singapura sebagai peneraju penjagaan kesihatan di rantau ini.
Duopharma mempunyai portfolio 78 produk yang dijual di Singapura yang terdiri daripada produk penjagaan kesihatan pengguna dan beretika dan aktif dalam segmen pasaran pengamal perubatan am (GP) swasta, hospital, runcit, kerajaan dan lain-lain.
“Pelancaran pejabat baharu Duopharma di Singapura sejajar dengan inisiatif Healthier SG negara tersebut, menunjukkan komitmen syarikat dalam meningkatkan infrastruktur penjagaan kesihatan dan menyokong langkah pencegahan sambil memberikan peluang untuk memainkan peranan penting merealisasikan matlamat penjagaan kesihatan Singapura,” kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar yang turut menghadiri majlis pelancaran tersebut.
Duopharma adalah pengeluar lebih 300 ubat generik seperti Crystorvas, Prelica dan Omesec serta produk Penjagaan Kesihatan Pengguna (CHC) termasuk CHAMPS®, FLAVETTES®, PROVITON® dan Uphamol, yang diiktiraf dan diterima dengan baik oleh pengguna di Malaysia, di peringkat serantau dan global.
Syarikat juga telah mempelbagaikan ruang biosimilars dengan kerjasama teknologi dan pengkomersialan dengan rakan kongsi antarabangsa yang boleh dipercayai dan kukuh dengan beberapa jenama iaitu ERYSAA®, Basalog One® dan Zuhera. - DagangNews.com

