Durian kampung murah, jualan cecah 400kg sehari

LocalFood
2 Jan 2026 • 1:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Jeo memaklumkan durian kampung mengalami penurunan harga sehingga RM10 sekilogram berbanding sebelum ini dijual pada harga RM15.
image is not available
Durian kampung tetap mendapat pilihan daripada pengemar raja buah itu.
image is not available
Durian kampung dijualnya pada harga RM10 sekilogram bermula Khamis susulan lambakan raja buah itu.

KUANTAN - Harga durian kampung yang dijual serendah RM10 sekilogram sejak Khamis lalu menarik perhatian pembeli apabila jualannya mencecah sehingga 400 kilogram (kg) sehari.

Peniaga, Johari Dollah, 35, berkata, penurunan harga itu dipengaruhi oleh lambakan hasil durian dari Jerantut, Raub dan Johor Bahru ketika ini.

“Beberapa hari lalu, durian kampung dijual sekitar RM15 sekilogram sebelum mencatat sedikit penurunan harga sejak semalam.

“Perubahan itu merancakkan jualan kerana ‘raja buah’ ini mempunyai peminat tersendiri yang menggemari rasa serta aromanya,” katanya ketika ditemui gerai duriannya di sini pada Jumaat.

Johari yang mesra dipanggil Jeo memaklumkan, selain durian kampung, durian premium seperti Musang King dan IOI juga dijual pada harga lebih rendah, bergantung kepada gred dan saiz.

**media[3389345]**

Jelasnya, Musang King kini ditawarkan pada harga antara RM20 hingga RM35 sekilogram berbanding sekitar RM45 sebelum ini.

“Dengan harga yang lebih rendah sekarang, orang ramai tidak lagi perlu risau untuk menikmati durian premium.

“Ia juga membuka peluang kepada pembeli untuk mencuba pelbagai jenis durian yang sebelum ini sukar dijangkau,” katanya yang sudah 10 tahun berkecimpung dalam perniagaan ini.

Sementara itu, Rahman Kasin, 55, berkata, pembeli kini lebih mudah mendapatkan durian kampung berikutan bekalan yang banyak.

“Durian kampung bersaiz besar kini dijual sekitar RM25 sekilogram, manakala saiz lebih kecil ditawarkan pada RM15.

“Walaupun kecil, buah ini tetap mendapat sambutan kerana manis dan aromanya yang kuat,” katanya.

**media[3389343]**

Menurut Rahman, lambakan hasil pada musim ini menjadikan jualan durian kampung lebih rancak, dengan permintaan tinggi daripada pembeli.

“Setiap hari jualan berjalan lancar, menunjukkan ramai pembeli menghargai durian kampung walaupun saiz buah berbeza-beza,” tambahnya.