Hari ini, Durioo secara rasmi telah memperkenalkan aplikasi serba baharu Durioo+ mereka. Bersama-sama dengannya, antaramuka baharu dengan sejumlah ciri dan fungsi baharu diperkenalkan. Antaranya adalah DuDeen untuk ajaran asas fardu ain, DuReel untuk kandungan video pendek dan juga Durioo Games.

Di bawah Durioo Games, Durioo mempunyai dua permainan tersendiri iaitu Abibi Bubble Shooter dan Durioo Match-3. Kedua-dua permainan ini menggunakan watak-watak dari mesta Durioo seperti Mila (Mina Mila), Siddiq (ILM: Kebangkitan Khalifah) dan Abibi.

Abibi Bubble Shooter adalah permainan asas memecahkan buih-buih bertemakan haiwan-haiwan comel. Pemain perlu mengawal Abibi untuk mencampak buih haiwan bagi memecahkan sekumpulan dengan warna sama. Untuk Durioo Match-3, anggap sahaja ia seakan Candy Crush tetapi dengan menggunakan buah-buahan.

Akan datang akan ada lebih banyak permainan lagi. 4 permua akan tiba sekitar hujung bulan, sementara menantikan kelulusan gedung aplikasi iaitu Durioo Tracing Book, Durioo Math, Durioo Sliding Puzzle dan Durioo Words.

Menariknya, semua ini percuma untuk dimainkan dan dimuat turun terus dari Google Play Store. Sementara di Apple App Store akan tiba tidak lama lagi. Pengguna akan diberi pilihan sama ada ingin menggunakan akaun tetamu atau terus log masuk dengan akaun Durioo+ untuk menyimpan sejarah sesi bermain.

Durioo Games adalah salah satu anjakan paradigma Durioo selepas syarikat dinilaikan mencecah lebih RM100 juta. Akan datang Durioo Commerce, Durioo Learning, dan Durioo Experiences pula akan diperkenalkan. Durioo+ boleh dilanggan pada harga bermula RM12.90 sebulan.
