
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Walaupun telah lebih sebulan berlalu, konflik Asia Barat masih belum menunjukkan tanda-tanda akan reda.
Banyak negara kini terkesan akibat ketegangan yang berlaku ini lebih-lebih lagi apabila Iran hanya membenarkan Selat Hormuz dilalui oleh kapal bukan musuh dengan syarat mereka tidak terlibat menyertai atau menyokong tindakan pencerobohan terhadap negara itu.
Walau bagaimanapun, Malaysia bernasib baik apabila tujuh kapal negara ini dibenarkan melalui laluan eksport minyak paling penting di dunia itu tanpa sebarang bayaran.
Malah, Kementerian Luar Negeri mengesahkan sebuah kapal Malaysia telah diberi laluan selamat dan kini sedang dalam perjalan menuju ke destinasi yang dituju.
Duta Iran Puji Prinsip & Keberanian Anwar Di Saat Serangan AS & Israel
Terbaharu, Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi memuji pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berani serta berpegang pada prinsip di tengah serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.
Jelas Valiollah, kepimpinan Anwar adalah sebagai petanda jelas yang menjurus kepada landasan sejarah yang betul sekali gus meningkatkan kedudukan diplomatik Malaysia.
“Sejarah akan menilai kedudukan kebijaksanaan sedemikian dengan adil dan rakyat Iran tidak akan sesekali melupakan pendirian sokongan kerajaan dan rakyat Malaysia,” katanya.
Dunia Perlu Bersuara, Sikap Berdiam Diri Adalah Satu Persubahatan
Jelas beliau, dunia perlu bersuara dan menentang jenayah perang AS dan Israel terhadap negara itu dan memberi amaran bahawa sikap berdiam diri terhadap tindakan sedemikian adalah satu persubahatan.
“Komuniti antarabangsa tidak boleh bersikap acuh tak acuh. Berdiam diri dalam menghadapi tindakan seumpama itu adalah satu persubahatan. Menyasarkan infrastruktur awam mesti dikutuk tanpa ragu-ragu atau mengamalkan dwistandard.
“Jika tindakan ini dibenarkan berterusan tanpa penelitian, kedaulatan mana-mana negara dan keselamatan mana-mana orang awam tidak akan terjamin.
“Jika mereka boleh melakukan jenayah sedemikian terhadap satu negara, mereka boleh melakukan perkara yang sama kepada negara lain melainkan mereka dipertanggungjawabkan,” katanya.
Serangan AS & Israel Bukan Untuk Pertahankan Diri, Sebaliknya Perlanggaran Undang-Undang & Jenayah Perang
Malah, Valiollah turut mengutuk tindakan AS dan Israel yang menyerang infrastruktur awam Iran termasuk kemudahan minyak dan gas, kilang keluli, hospital, universiti, sekolah, kediaman dan jambatan.
Tegasnya, serangan itu bukanlah satu bentuk tindakan mempertahankan diri, sebaliknya ia pelanggaran undang-undang antarabangsa dan jenayah perang.
Valiolah secara berulang kali turut memberi amaran mengenai tindakan AS dan Israel yang menyasarkan Loji Kuasa Nuklear Bushehr yang boleh menyebabkan risiko melangkaui sempadan Iran.
Malah, jelas beliau, tindakan sebegitu boleh membawa kesan bencana terhadap orang awam secara lebih luas di rantau berkenaan.
Turut Bimbang Ancaman Donald Trump Serang Loji Kuasa & Jambatan
Pada masa yang sama, beliau turut menzahirkan rasa bimbang dengan ancaman Presiden AS, Donald Trump yang mahu menyerang loji kuasa dan jambatan Iran sekiranya Selat Hormuz terus ditutup.
Valiollah berpendapat ancaman itu bukanlah satu diplomasi sebaliknya ia merupakan pengisytiharan niat untuk melakukan lebih banyak jenayah perang.
“Apabila seorang pemimpin bercakap secara terbuka tentang menghantar sebuah negara ‘kembali ke zaman batu’, ia mendedahkan niat sebenar.
“Ia menandakan kesediaan untuk mendatangkan penderitaan kepada orang awam pada skala yang tidak terbayangkan. Ini bukan kata-kata yang boleh diabaikan. Ia adalah amaran,” katanya.
Trump Beri Ancaman Boleh Hancurkan Iran Dalam Satu Malam
Dalam pada itu, Trump menuntut Iran untuk membatalkan hasrat mereka untuk memiliki senjata nuklear serta membuka kembali Selat Hormuz.
“Seluruh negara Iran boleh dihapuskan dalam satu malam, dan malam itu mungkin malam esok, saya harap saya tidak perlu melakukannya.
“Maksud saya, pemusnahan sepenuhnya — menjelang jam 12 tengah malam, dan ia boleh berlaku dalam tempoh empat jam jika kami mahu. Kami tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Konflik Asia Barat: Kapal Malaysia Dibenarkan Lalui Selat Hormuz Tanpa Tol – Duta Iran
Baca Artikel Berkaitan: Konflik Di Asia Barat: Kerajaan Siap Sedia Berdepan Implikasi Ekonomi
Baca Artikel Berkaitan: Anwar Ibrahim Kecam Pembunuhan Khamenei, Sifatkan Asia Barat Di Ambang Krisis Besar
