Duta Marine terima pembiayaan RM729.6 juta daripada BPMB dan EXIM Bank bagi projek FSO Permata Dulang

26/05/2025 - 16:42
(Dari kiri) : Ketua Pegawai Perniagaan EXIM Bank Malaysia, Faizah Mustapa, Pengarah dan Pemegang Saham Duta Marine, Mahyudden Abdul Wahab, dan Pengarah Urusan, Perbankan Korporat & Pelaburan Kumpulan BPMB, Mohamed Nazri Omar, selepas menandatangani perjanjian pembiayaan FSO Permata Dulang. Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 26 Mei - Duta Marine Sdn Bhd memperoleh pembiayaan bersama melibatkan RM555 juta daripada Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) dan AS$37 juta (RM174.6 juta) menerusi kemudahan Islamik daripada Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) bagi menjayakan projek FSO Permata Dulang.
Dana itu merangkumi kos pemerolehan, penukaran serta mobilisasi kapal tangki minyak kepada kapal penyimpanan, dan pemunggahan terapung (FSO) baharu bagi menggantikan FSO Puteri Dulang yang sudah berusia.
FSO Permata Dulang akan menggantikan FSO Puteri Dulang yang semakin uzur bagi memastikan kelangsungan operasi di Lapangan Dulang, salah satu medan minyak luar pesisir tertua negara.
Projek dijangka menyumbang kepada keselamatan tenaga negara, daya tahan infrastruktur, dan kelangsungan operasi luar pesisir jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Datuk Muzaffar Hisham berkata, projek tersebut mencerminkan tujuan utama BPMB menyediakan modal impak bagi pembangunan negara.
"Ia membuktikan sinergi dalam kumpulan BPMB yang menyatukan kepakaran dan fokus menyokong keutamaan negara serta memperkasa pemain Bumiputera berkemampuan," katanya dalam satu kenyataan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank, Nurbayu Kassim Chang berkata, projek ini menunjukkan pendekatan bersepadu BPMB dalam memperkukuh sektor minyak dan gas, serta memperluas penyertaan tempatan.
"Pendekatan ini membolehkan syarikat tempatan berkembang di peringkat global," katanya.
EXIM Bank bertindak sebagai penyusun tunggal perjanjian pajakan antara Duta Marine dan Petronas Carigali Sdn Bhd, sekali gus menunjukkan peranan strategiknya dalam merangka rumusan pembiayaan.
Projek itu selari dengan Program Pengangkutan & Logistik BPMB dan menyokong Matlamat Pembangunan Lestari PBB, khususnya SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) dan SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi).
Duta Marine memperoleh pajakan selama 15 tahun daripada Petronas Carigali selepas lanjutan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Dulang hingga 2045.
Pengarah dan pemegang saham Duta Marine, Mahyudden Abdul Wahab berkata, pembiayaan daripada BPMB dan EXIM Bank membuktikan keyakinan terhadap keupayaan syarikat Bumiputera mengurus projek berimpak tinggi.
Projek dijangka mewujudkan peluang pekerjaan semasa fasa penukaran dan operasi serta menjana manfaat ekonomi kepada kawasan pertumbuhan utama seperti Terengganu.- DagangNews.com
standard
