Nelayan naik angin tumbuk polis

6 Jun 2020 • 10:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

JOHOR BAHRU - Seorang pembonceng motosikal ditahan kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menumbuk pegawai polis, ketika diminta mengemukakan permit perjalanan rentas negeri di Sekatan Jalan Raya (SJR) di KM1, Jalan Endau-Rompin dekat Mersing, semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, lelaki berumur 29 tahun dan berasal dari Pahang itu kini direman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 332 dan 186 Kanun Keseksaan.

"Kejadian berlaku kira-kira 5 petang semalam, di mana pegawai polis bertugas menahan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dinaiki dua lelaki di SJR tersebut.

"Semasa pegawai polis meminta kad pengenalan dan permit perjalanan, pembonceng motosikal itu tiba-tiba naik angin lalu mengeluarkan kata-kata kesat dan menumbuk pegawai polis berkenaan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berlaku pergelutan semasa pegawai polis hendak menahan pembonceng itu dan menyebabkan pegawai polis lelaki terbabit mengalami luka kecil di bahagian atas mata kanan.

Katanya, pembonceng tersebut yang merupakan seorang nelayan, sedang dalam perjalanan dari Mersing ke Pahang.

Rakannya yang menunggang motosikal itu pula tidak terlibat dalam kes tersebut. - Bernama




Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved