Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kalau korang memang dah plan nak ke Jakarta untuk Djakarta Warehouse Project (DWP) 2026, perancangan perjalanan kini boleh dibuat dengan lebih mudah menerusi satu tempahan.
Baru-baru ini AirAsia MOVE telah memperkenalkan pakej baharu yang menggabungkan tiket rasmi acara dan penerbangan dalam satu tempahan, dengan DWP 2026 menjadi acara pertama yang ditawarkan menerusi inisiatif berkenaan.
Pakej ini dilancarkan menerusi platform acara khusus AirAsia MOVE, iaitu MOVETIX, dengan kerjasama Ismaya Group selaku penganjur DWP.
Menariknya, pakej tersebut menawarkan penjimatan sehingga 20%, dengan harga bermula dari RM1,300.
Harga itu termasuk tiket kemasukan umum DWP serta penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Jakarta yang ditempah menerusi AirAsia MOVE.

Acara langsung seperti konsert dan sukan dorong orang ramai melancong
Menurut AirAsia MOVE, acara langsung seperti konsert, festival muzik, acara sukan dan pengalaman kebudayaan kini semakin menjadi antara faktor yang mendorong orang ramai melancong merentas sempadan.
Perkembangan itu turut membuka peluang baharu dalam industri pelancongan rantau Asean, khususnya apabila peminat sanggup melakukan perjalanan ke negara lain demi menghadiri acara yang diminati.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata perjalanan hari ini bukan lagi sekadar bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain, sebaliknya turut berkait dengan pengalaman yang menyatukan orang ramai.
Beliau melihat perkembangan acara langsung sebagai peluang untuk menghubungkan lebih ramai pelancong dengan muzik, budaya dan pengalaman yang ditawarkan di rantau Asean.
“Dengan menggabungkan jaringan AirAsia dan ekosistem perjalanan AirAsia MOVE menerusi MOVETIX, kami mahu menjadikan pengalaman ini lebih mudah diakses, di samping membantu orang ramai menerokai lebih banyak destinasi di rantau ini,” katanya.
Tempahan ke destinasi acara meningkat
Sementara itu, Ketua MOVETIX by AirAsia MOVE, Hassan Choudhury, berkata pihaknya menyaksikan peningkatan antara 10 hingga 15% dalam tempahan perjalanan ke destinasi yang menjadi lokasi acara dan konsert utama.
Menurutnya, trend itu menunjukkan pengalaman acara langsung semakin memainkan peranan dalam mendorong permintaan perjalanan.
Beliau turut melihat peluang untuk membantu penganjur acara mencapai pasaran baharu di luar negara asal mereka, khususnya pelancong yang memang mempunyai kecenderungan untuk membuat tempahan perjalanan bersempena sesuatu acara.
“Pakej acara dan penerbangan baharu ini membolehkan kami memanfaatkan permintaan berkenaan dengan menggabungkan tiket acara dan penerbangan,” katanya.
DWP dipilih sebagai pelancaran sulung MOVETIX bersama Ismaya Group, dengan AirAsia MOVE berharap dapat memperluaskan kerjasama dengan lebih banyak penganjur di seluruh Asean dan pasaran lain.
DWP bukan sekadar festival muzik
Bagi pengasas bersama Ismaya Group, Christian Rijanto, DWP kini bukan sekadar sebuah festival muzik, sebaliknya sudah menjadi antara acara yang mendorong peminat dari luar Indonesia untuk berkunjung ke negara itu.
Katanya, DWP setiap tahun menerima peminat dari seluruh Asia, Australia dan Eropah, selain dibangunkan sebagai festival destinasi dengan pengalaman yang merangkumi barisan artis, produksi serta layanan kepada tetamu.
Kerjasama dengan AirAsia MOVE menerusi MOVETIX dilihat dapat menjadikan perjalanan ke festival berkenaan lebih mudah, khususnya bagi peminat dari bandar seperti Kuala Lumpur dan Bangkok.
“Buat pertama kali, peminat dari Kuala Lumpur atau Bangkok boleh merancang keseluruhan perjalanan ke DWP, termasuk tiket dan tempahan penerbangan, dalam satu platform,” katanya.
Jadi buat anda yang merancang nak ke DWP 2026 tapi nak mudah, dapatkan pakej acara dan penerbangan menerusi MOVETIX. Siap dapat penjimatan sehingga 20% lagi!
Baca Artikel Berkaitan:
AirAsia MOVE Lancar Ciri ‘Attractions’, Pengguna Kini Boleh Tempah Trip & Aktiviti Tarikan






