DXN beli pangsapuri di Burj Khalifa bernilai RM7.4 juta untuk dijadikan pusat ganjaran ahli

04/09/2025 - 18:20
Gambar: www.burjkhalifa.ae Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 4 Sept - DXN Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Daxen Middle East Food Manufacturing LLC memeterai perjanjian jual beli (SPA) bagi memperoleh sebuah unit pangsapuri kediaman di Burj Khalifa, Dubai dengan jumlah pertimbangan tunai sebanyak AED6.4 juta (kira-kira RM7.4 juta).
Kumpulan itu berkata, pembelian itu yang dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman mewakili kurang daripada 0.6% daripada jumlah aset bersih DXN sebanyak RM1.3 bilion setakat 28 Februari 2025 (FY25), tanpa memberi kesan material ke atas kunci kira-kira, serta tidak akan menjejaskan pembayaran dividen, pelaburan berterusan dalam penyelidikan & pembangunan (R&D) atau rancangan pengembangan syarikat.
Katanya, pengambilalihan ini bersifat pelengkap dan tidak mengalihkan sumber daripada keutamaan utama DXN dalam bidang R&D, pembuatan, dan pengembangan pasaran.
"Hartanah tersebut akan berfungsi sebagai pusat ganjaran dan latihan ahli, melengkapkan kemudahan DXN sedia ada di Pulau Pinang dan Cyberjaya, serta akan digunakan untuk pembangunan kepimpinan, program insentif, dan acara VIP.
"Selain itu, ia turut menawarkan potensi pendapatan sewaan dan kenaikan nilai modal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Memandangkan urus niaga itu melibatkan pihak berkaitan, semua pengarah yang berkepentingan telah berkecuali daripada sebarang perbincangan dan undian.
Jawatankuasa audit telah menilai syarat-syarat urus niaga ini secara bebas dan mengesahkan ia adalah adil dan munasabah. Kelulusan hanya diberikan oleh pengarah yang tidak berkepentingan, selaras dengan keperluan Bursa Malaysia.
Dubai kini muncul sebagai hab yang semakin penting bagi DXN, dengan kilang pengeluaran ditubuhkan di sana pada 2023, manakala pasaran Asia Barat menyumbang lebih daripada 10% kepada hasil kumpulan pada FY25.
Pengambilalihan itu mengukuhkan komitmen jangka panjang DXN terhadap penglibatan ahli dan pertumbuhan di rantau tersebut. - DagangNews.com
standard


