DXN perluas pasaran global menerusi produk RTE dan RTC

LocalBusiness & Finance
16 Jul 2025 • 10:12 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DXN perluas pasaran global menerusi produk RTE dan RTC

image is not available

16/07/2025 - 10:12

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Julai – Pengeluar dan pemasar produk kesihatan herba, DXN Holdings Bhd merancang untuk memperluas portfolio produknya dengan pelancaran pelbagai makanan sedia dimakan (RTE) dan sedia dimasak (RTC) untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Lim Siow Jin berkata, syarikat kini berada pada fasa akhir pembinaan kemudahan dapur pusat bagi memperkasa pengeluaran produk makanan RTE dan RTC.

"Teknologi pembekuan terkini membolehkan produk siap diproses seperti ikan gred sushi dan sashimi tahan sehingga 18 bulan yang membuka peluang eksport ke seluruh dunia," katanya.

Tambahnya, produk baharu itu termasuk makanan laut segar yang diproses terus dari pusat ternakan DXN di Pulau Tuba, Kedah.

Ia dijangka mengulangi kejayaan produk kopi DXN yang kini menjadi antara penyumbang utama hasil syarikat.

"Jika kopi boleh mencapai tahap jualan yang sangat tinggi, sudah pasti makanan RTE dan RTC yang dinikmati setiap hari boleh mengatasinya," katanya.

Ketika ini, produk DXN diedarkan menerusi rangkaian lebih 20 juta ahli di 54 negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, Abdul Hafiz Mahmood Hisham berkata, syarikat optimis dapat mengekalkan kadar agihan dividen melebihi 50 peratus daripada keuntungan bersih tahun ini, selaras dengan dasar pembayaran minimum DXN.

Bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2024, DXN telah mengagihkan 56 peratus daripada keuntungan bersih sebagai dividen, berjumlah sekitar RM362 juta sejak disenaraikan semula di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 19 Mei 2023.

Pada 27 Januari lalu, lembaga pengarah DXN turut mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 1.00 sen sesaham biasa yang melibatkan jumlah bayaran sebanyak RM49.72 juta bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2025.

Dari segi prestasi, DXN mencatatkan kenaikan 5.8 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM329.03 juta bagi FY2024, berbanding RM310.99 juta sebelumnya.

Hasil pendapatan turut meningkat 5.84 peratus kepada RM1.91 bilion, disokong prestasi kukuh di pasaran utama seperti Peru, Bolivia, Timur Tengah dan Turkiye menerusi strategi pemasaran bersasar yang berjaya mengekalkan penglibatan ahli sepanjang tahun. - DagangNews.com

standard