E.A. Technique mulakan prosiding timbang tara pertikaian pajakan kapal terhadap unit Petronas Carigali
azan
28/06/2023 - 08:52
KUALA LUMPUR 28 Jun - Penyedia perkhidmatan kapal tangki minyak dan perkhidmatan pelabuhan, E.A. Technique (M) Berhad sudah memulakan prosiding timbang tara terhadap unit milik penuh Petronas Carigali Sdn. Bhd. iaitu Vestigo Petroleum Sdn. Bhd. (VPSB) dengan tuntutan termasuk ganti rugi khas dan am, kos serta faedah.
Timbang tara itu adalah berkaitan pertikaian yang timbul daripada kontrak pajakan kapal FSU Nautica Muar bertarikh 11 April 2017.
Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) itu melantik Tetuan Mohanadass Partnership untuk mewakili mereka dalam prosiding itu.
“Prosiding timbang tara dijangka tidak mempunyai sebarang kesan terhadap perniagaan atau operasi ke atas syarikat.
"Pada ketika ini, syarikat tidak dapat menentukan dengan pasti kesan kewangan prosiding timbang tara kerana ini tertakluk kepada sebarang tuntutan balas yang mungkin dibangkitkan oleh VPSB dalam perjalanan prosiding timbang tara itu,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Dalam pengumuman berasingan, kumpulan itu turut mengumumkan pelupusan Nautica Muar pada harga AS$6.05 juta, atau RM27.89 juta, kepada Portland Vessels Ltd, sebuah syarikat diperbadankan British Virgin Islands (BVI) yang dimiliki sepenuhnya oleh entiti BVI lain yang dipanggil Columbia Seas Ltd, yang dimiliki Ferdous Rahman.
Kumpulan itu berkata, kapal berusia 31 tahun itu kini terbiar, dan nilai buku bersih diaudit pada akhir 2022 berjumlah RM19.89 juta, dengan kos asal pelaburan kumpulan berjumlah RM53.86 juta.
Kumpulan itu juga mencadangkan untuk melupuskan sebuah lagi kapal pemunggah simpanan terapung bernama Nautica Tembikai pada harga sekurang-kurangnya AS$6.05 juta, atau RM27.92 juta, dengan harapan dapat mencari pelamar untuk memasukkan memorandum perjanjian dalam tempoh enam bulan sebaik sahaja ia mendapat kelulusan pemegang saham.
E.A. Technique berkata kapal berusia 28 tahun itu kini ditempatkan di Laut China Selatan di luar pantai Kuala Terengganu bagi memenuhi kontrak perkhidmatan kepada pengendali medan minyak dan gas marginal Tembikai.
Kontrak akan tamat pada Ogos tahun ini, dan E.A. Technique sedang dalam rundingan untuk lanjutan
“Bagaimanapun, sekiranya kontrak itu tidak dilanjutkan, syarikat berhasrat untuk meneruskan perbincangan dengan broker bagi cadangan pelupusan Nautica Tembikai bagi mendapatkan pembeli berpotensi,” katanya.
Selain Nautica Muar, E.A. Technique memperuntukkan empat lagi kapal untuk dilupuskan di bawah skim penyusunan iaitu Nautica Batu Pahat, Nautica Renggam, Nautica Kota Tinggi, dan Nautica Maharani.
Kumpulan itu telah menyelesaikan pelupusan kapal-kapal ini, memperoleh hasil kasar kira-kira RM76.53 juta, yang mana kira-kira RM16.54 juta telah diperuntukkan untuk pembayaran balik kepada pemiutang skim. - DagangNews.com

