E-Invoice Soundbox bantu PMKS urus operasi harian secara digital dengan mudah dan mampu milik

19/09/2025 - 11:53
Usahawan boleh memanfaatkan peranti canggih untuk kelancaran perniagaan mereka / Gambar DagangNews.com Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 19 Sept – Perusahaan kecil, Mikro dan Sederhana (PMKS) seluruh negara kini berpeluang memanfaatkan E-Invoice Soundbox, peranti bundel baharu yang menggabungkan fungsi pembayaran dan e-invois dalam satu penyelesaian ringkas, mampu milik dan inklusif.
Peranti itu yang pertama seumpamanya di Malaysia menggabungkan fungsi kotak bunyi pembayaran dan e-invois automatik dapat membantu PMKS mengurus pembayaran serta invois dengan lebih mudah dan lancar.
Ia memberi penyelesaian mudah, mampu milik dan inklusif untuk membolehkan peniaga kecil menyertai ekonomi digital tanpa kos kewangan yang besar.
CelcomDigi Berhad yang melancarkan peranti itu berkata, dalam landskap perniagaan digital masa kini, kebanyakan PMKS berdepan cabaran termasuk sistem baharu yang kompleks, kos pemasangan tinggi serta akses terhad kepada penyelesaian digital yang boleh dipercayai.
“E-Invoice Soundbox ditawarkan sebagai jawapan kepada isu tersebut dengan ciri ‘plug-and-play’ yang tidak memerlukan integrasi sistem yang rumit atau pelaburan awal besar.
“Peranti ini membolehkan pengesahan pembayaran kod QR secara masa nyata di samping penjanaan e-invois automatik.
“Penyatuan kedua-dua fungsi ini membantu melancarkan operasi harian peniaga, mengurangkan risiko pertikaian dan kelewatan pembayaran, selain meningkatkan pengalaman pelanggan,” kata syarikat telekomunikasi itu dalam satu kenyataan hari ini.

Direka untuk berfungsi walaupun di kawasan dengan capaian internet terhad, E-Invoice Soundbox sangat sesuai bagi perniagaan tanpa sistem perakaunan atau yang beroperasi di kawasan luar bandar tanpa gentian optik.
Ia dilengkapi kad SIM CelcomDigi serta disokong rangkaian mudah alih nasional syarikat, sekali gus memastikan perkhidmatan stabil dan tanpa gangguan.
Dengan langganan serendah RM88 sebulan, penyelesaian ini menawarkan alternatif lebih mudah berbanding sistem e-invois konvensional yang biasanya memerlukan kos tinggi dan integrasi kompleks.
Malah, ia direka dengan konsep inklusif agar peniaga kecil seperti pengusaha warung dan peniaga pasar malam turut mampu menggunakannya, sekali gus merapatkan jurang digital dalam kalangan komuniti kurang mendapat perkhidmatan.
Menurut CelcomDigi, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong transformasi digital PMKS di Malaysia.
“Ia membolehkan perniagaan menumpukan perhatian kepada pengembangan pelanggan, menggunakan maklumat jualan masa nyata untuk membuat keputusan lebih bijak dan meningkatkan daya tahan menghadapi ketidaktentuan pasaran,” jelas syarikat itu.
Produk ini juga dianggap sebagai pemangkin untuk ‘future-proof’ operasi PMKS, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak peluang perniagaan dalam ekonomi digital.
“Inovasi ini adalah sebahagian daripada usaha menyokong pembangunan komuniti usahawan tempatan dengan cara yang praktikal dan berkesan,” katanya.
E-Invoice Soundbox kini boleh diperoleh melalui pengedar sah CelcomDigi di seluruh negara, manakala maklumat lanjut tersedia di laman web rasmi perniagaan syarikat itu.- DagangNews.com
standard



