e-Invois Jimat Kos Perniagaan, Selesai Isu Rekod Pembayar Cukai – MATA

Business & Finance
29 Jul 2024 • 5:47 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Pelaksanaan e-Invois berpotensi mengurangkan kos dan masa perniagaan selain memudahkan penyimpanan rekod dan penyelesaian kepada masalah simpanan rekod pembayar cukai.

Menurut laporan Berita Harian, Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A Razak berkata, selain mengurangkan penggunaan kertas dan pos, mempercepatkan proses penerimaan, pengesahan dan pembayaran invois, e-Invois juga dapat dihantar lebih cepat dengan margin kesilapan yang lebih kecil.

image is not available

Foto: Laman Web MATA

“Penyimpanan jangka panjang invois tidak membebankan pembayar cukai pada masa akan datang seperti yang diperuntukkan dalam Akta Cukai Pendapatan Perenggan 82 (1) (a).

“Ia juga akan meningkatkan ketepatan pertukaran maklumat antara dua pihak yang diyakini dan dipercayai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mengurangkan risiko kesilapan manual ketika memasukkan data, di samping memastikan maklumat yang tepat dan konsisten dikongsi antara pembekal dan pelanggan.

“e-Invois turut dapat mengatasi masalah ekonomi bayangan dan pada masa sama dapat menjejak perbelanjaan dan penjualan syarikat dan pengguna,” katanya.

image is not available

Foto: Google

Beliau berkata, penggunaan e-Invois dapat meningkatkan kecekapan operasi perniagaan sekali gus memudahkan pematuhan dengan peraturan kewangan dan cukai yang berkuat kuasa dengan menyediakan rekod yang boleh diakses bagi tujuan audit dan kawalan dalaman.

“Selain itu, mampu meningkatkan ketelusan dan kawalan apabila dapat memberikan gambaran jelas mengenai status invois dan pembayaran serta membolehkan pengesanan dan penyelesaian isu dengan cepat,” ujarnya.

Mohd Fairuz turut menegaskan e-Invois merupakan penyimpanan transaksi terbaik kerana mampu mengelakkan kesalahan seperti tidak menyimpan rekod, hilang atau pudar sekiranya dilakukan secara manual.

image is not available

Foto: businesstoday.com.my

“LHDN juga akan ada pola atau corak penggunaan data terperinci syarikat dan pengguna, sama ada dalam penjualan atau perbelanjaan yang akan dilaporkan secara automatik dalam sistem MyInvois untuk meningkatkan hasil serta pematuhan cukai,” jelas beliau.

Walaupun mempunyai pelbagai cabaran seperti penyesuaian teknologi baharu dan keselamatan, tetapi pelaksanaan e-Invois penting buat masa sekarang dan pada tahun-tahun akan datang.

Sumber: Berita Harian (Hazwan Faisal Mohamad)