E-mel lucah AI: 10 ahli politik terima ugutan, hanya 4 buat laporan

LocalPolitics
17 Sep 2025 • 3:30 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Seramai 10 ahli politik yang mendakwa menerima ugutan e-mel palsu lucah menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sudah dikenal pasti Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun setakat ini hanya empat membuat laporan polis.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif ugutan berangkai berkenaan.

Mohd Khalid berkata, isu itu berkemungkinan didalangi pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan bagi tujuan kewangan.

"Isu-isu begini kadang-kala ada pihak tertentu cuba membuat ugutan terhadap individu bagi tujuan kewangan.

"Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang terbabit," katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini lapor BH.

Dalam laporan media Ahad lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar SU Muthuvelu, berkata semua laporan dibuat selepas mangsa menerima e-mel daripada pihak tidak dikenali yang menuntut bayaran AS$100,000 (RM422,000) dengan ancaman menyebarkan video palsu berunsur lucah menggunakan wajah mereka.

M Kumar berkata, kes pertama dilaporkan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, pada 12 September lalu selepas menerima e-mel berkenaan.

"Sekiranya permintaan tidak dipatuhi dalam tempoh tiga hari, video palsu berunsur lucah menggunakan wajah beliau akan disebarkan di media sosial.

"Kes kedua membabitkan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Nelson W Angang, yang turut menerima e-mel dengan ancaman sama," katanya.

Jelasnya, kes ketiga dan keempat pula dilaporkan oleh ADUN Kulim, Wong Chia Zhen, serta Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari.

"Kedua-duanya menerima e-mel dengan modus operandi sama iaitu menuntut bayaran AS$100,000 dengan ancaman menyebarkan video palsu berunsur lucah menggunakan wajah mereka," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana memeras ugut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Ahli politik lain yang mendakwa turut menerima e-mel itu termasuk Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi; Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli; Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin; Adun Kota Anggerik Najwan Halimi; Adun Seri Setia Fahmi Ngah dan Senator Manolan Mohamad.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Khalid berkata, polis akan memanggil Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany), Tang Yi Ze, untuk merekodkan kenyataan mereka.

Semalam, M Kumar dilaporkan berkata, polis membuka siasatan terhadap Tang susulan kenyataannya baru-baru ini berhubung program matrikulasi.

Katanya, polis menerima lima laporan berhubung kenyataan Yi Ze yang mencadangkan sistem matrikulasi digantikan dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai standard tunggal kemasukan ke universiti awam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian. - 17 September, 2025