
KOTA BHARU: Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) hari ini menjalin kerjasama strategik bersama dua pasukan Liga Super iaitu Kelantan United FC (KUFC) dan Selangor FC melibatkan tajaan bernilai RM1 juta.
Pengerusi Eksekutifnya Che Ibrahim Che Ismail berkata KUFC dan Selangor FC masing-masing menerima tajaan berjumlah RM500,000.
“Kami memilih kedua-dua pasukan ini kerana hubungan yang sudah lama terjalin dan kami berasa sangat selesa untuk menjalin kerjasama dengan mereka.
“Kami harap kedua-dua pasukan mampu melakukan perubahan dan memberi saingan sengit kepada pasukan yang bersaing pada musim ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemasyhuran Kerjasama Strategik Liga Malaysia 2023 antara Konsortium E-Mutiara Berhad bersama dua pasukan terbabit di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan KUFC Rozi Muhamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon.
Saingan Liga Super 2023 dijadual bermula pada Jumaat ini.
Sementara itu, Rozi berkata walaupun KUFC lebih selesa dianggap pasukan ‘underdog’ pada saingan Liga Super musim ini, pihaknya berjaya mengikat lebih 10 penaja setakat ini.
Johan Kamal ketika ditanya mengenai perlawanan dengan KUFC pada 26 Feb ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor, pula berkata pasukannya akan memberi saingan sengit dan tidak sesekali memandang rendah kepada pasukan lawan. -Bernama

