Padah 'kepala batu'

12 May 2020 • 3:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KEMAMAN - Padah tidak memakai topi keledar, 60 saman dikeluarkan kepada penunggang dan pembonceng motosikal dalam Op Kepala Batu di sekitar daerah Kemaman semalam.

Operasi selama empat jam itu dilakukan di empat lokasi iaitu di Kemasik, Kijal, Binjai dan Geliga bermula jam dua petang dengan kekuatan empat pegawai dan 18 anggota.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kesemua yang disaman masing-masing berusia antara 16 hingga 55 tahun.

"Selain pemantauan terhadap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kita laksanakan Op Kepala Batu ini bagi memastikan penduduk di daerah ini mematuhi undang-undang lalu lintas.

image is not available

"Kelonggaran yang diberikan kerajaan dengan pelaksanaan PKPB ini bukanlah alasan untuk mereka melanggar undang-undang lalu lintas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Jelas Hanyan, Op Kepala Batu dibuat memandangkan pihaknya melihat ada sesetengah penunggang dan pembonceng motosikal yang memandang remeh berkaitan pemakaian topi keledar.

"Kita harap masyarakat dapat mematuhi undang-undang ditetapkan kerana soal keselamatan ini kita tidak boleh berkompromi," katanya.