Beats adalah jenama aksesori audio yang dimiliki oleh Apple. Jenama ini seringkali diejek kerana produknya dijual pada harga tidak masuk akal dan dari segi nisbah harga-ke-prestasi barangan Beats, ia tidak berbaloi. Namun, hari demi hari Beats telah berubah – contoh Powerbeats Pro yang mendapat perhatian ramai.
Baru-baru ini, Beats memperkenalkan Solo Pro pula. Ia adalah set fon kepala baharu mereka dengan sokongan pembatalan hingar aktif tulen (Pure ANC). Pure ANC adalah fungsi yang boleh menilai audio yang tertiris dan membandingkan dengan audio yang sedang pengguna dengar dengan ANC dihidupkan – tetapi audio tersebut sepatutnya dimainkan dengan ANC dimatikan. Jadi dengan perbandingan ini Solo Pro boleh menetapkan kualiti audio yang lebih baik.

Seperti mana-mana produk Beats yang moden, Solo Pro turut dijana cip W1 dan H1 untuk fungsi “Hey, Siri” yang sentiasa aktif. Menurut Beats, dengan ANC dan mod Transparency hidup bateri boleh bertahan selama 22 jam. Manakala jika kedua-duanya dimatikan bateri akan bertahan sehingga 40 jam. Solo Pro juga boleh bertahan selama 3 jam dengan 10 minit pengecasan.
Harga jualan Solo Pro adalah RM1299. Ia hadir dengan pilihan warna Black, Ivory, Gray, Dark Blue, Light Blue dan Red Pharrell Williams dari koleksi “More Matte”.
