AS hantar 4,000 tentera ke Timur Tengah

1 Jan 2020 • 12:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

WASHINGTON - Seramai 4,000 anggota tentera Amerika Syarikat (AS) dikerah ke Timur Tengah susulan bantahan besar-besaran penunjuk perasaan Iraq di luar Kedutaan Washington semalam.

Protes ganas itu diadakan bagi membantah serangan udara AS di negara tersebut baru-baru ini.

Pasukan amaran Bahagian Hantaran Udara ke-82 terdiri daripada kira-kira 4,000 anggota yang dikenali sebagai Deployment Ready Brigade (DRB), telah diperintahkan bersiap sedia untuk dihantar ke Kuwait dalam masa terdekat.

Menurut pegawai pertahanan, sekurang-kurangnya 500 anggota telah pun membuat perjalanan ke negara itu.

"Penempatan anggota adalah langkah tepat dan berjaga-jaga yang diambil sebagai tindak balas terhadap tahap ancaman yang semakin meningkat dalam kalangan pegawai dan kemudahan AS. Sebagai contoh, apa yang berlaku di Baghdad sekarang," kata Setiausaha Pertahanan, Mark Esper dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Esper berkata, sekurang-kurangnya 750 anggota akan ditempatkan di rantau berkenaan dan Pasukan Tindak Balas Segera (IRF) bersedia untuk dihantar dalam beberapa hari lagi.

Semalam, Kedutaan AS di Baghdad dipindahkan selepas ribuan penunjuk perasaan berkumpul di luar pintu masuk bangunan terbabit bagi mengecam pencerobohan ketenteraan Washington yang menyasarkan Unit Mobilisasi Popular (PMU) Iraq Ahad lalu. - Agensi