EAIC dapati pegawai KKM gagal respons lepaskan barang sitaan, syor hukuman tatatertib

LocalPolitics
25 Jul 2025 • 3:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

EAIC dapati pegawai KKM gagal respons lepaskan barang sitaan, syor hukuman tatatertib

image is not available

25/07/2025 - 15:27

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Julai — Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesahkan ada pegawai penyiasat Kementerian Kesihatan (KKM) gagal memberikan maklum balas kepada permohonan kes sitaan.

Ia berkata, kelemahan itu dikesan daripada siasatan terhadap aduan yang melibatkan staf Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) KKM Putrajaya dan Melaka dilaksanakannya baru-baru ini.

Mereka katanya, didakwa tidak memberikan respons terhadap permohonan pelepasan barang sitaan yang dikemukakan pengadu kes itu dan aduannya telah disiasat di bawah subseksyen 27(4) Akta EAIC 2009.

"Siasatan mendapati Pegawai CKAPS Putrajaya gagal memberi sebarang maklum balas, manakala Pegawai CKAPS Melaka pula dikenal pasti lewat melengkapkan kertas siasatan," kata EAIC dalam kenyataan.

Insiden berkenaan tambahnya, tidak selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Penyiasatan Kes ke atas Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan yang memang ada ditetapkan oleh KKM sendiri.

Sehubungan itu kata EAIC, kelewatan tersebut telah menjejaskan kelancaran kepada proses siasatan berkenaan dan menyebabkan tempoh siasatan mengambil masa yang tidak munasabah untuk diselesaikan.

Berdasarkan dapatan itu, EAIC telah memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib CKAPS, KKM dengan syor agar hukuman tatatertib dikenakan terhadap pegawai yang terlibat.

Mereka yang bermasalah itu tambahnya, boleh dikenakan tindakan disiplin dengan berdasarkan kepada Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].

"Pegawai yang terbabit perlu dikenakan hukuman kerana didapati kurang cekap atau kurang berusaha sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(e) peraturan sama," kata kenyataan EAIC itu lagi. - DagangNews.com

featured standard