Ecomate ambil alih tanah Success Style berharga RM3.63 juta di Muar

Business & Finance
10 Jan 2024 • 6:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ecomate ambil alih tanah Success Style berharga RM3.63 juta di Muar

azan

10/01/2024 - 18:25

KUALA LUMPUR 10 Jan - Ecomate Holdings Berhad menerusi Ecomate Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Success Style Sdn. Bhd. bagi mengambil alih lot tanah bernilai RM3.63 juta di Muar, Johor.

Pengambilalihan itu melibatkan tanah kosong seluas 1.2 hektar Jalan Bakri, Muar.

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pengambilalihan itu adalah bagi memenuhi aktiviti pengeluaran yang akan menjadi sebahagian daripada rancangan pengembangan perniagaan berterusan mereka.

Katanya, semua kilang pembuatan kumpulan terletak di dalam kawasan itu dan ia memudahkan kawalan pentadbiran ke atas kos pengeluaran serta kualiti produk selain dapat menjimatkan masa penghantaran ke pasaran.

"Pengambilalihan itu memudahkan pemindahan kumpulan ke Taman Perabot Muar, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri bagi pembangunan teratur dan pertumbuhan industri perabot di Muar," katanya.

Ecomate berkata, pengambilalihan itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan kumpulan dan pendapatan sesaham mereka untuk tahun kewangan berakhir 29 Februari 2024.

Ia juga tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham kumpulan itu.- DagangNews.com