Econpile terima kontrak bernilai RM30 juta daripada Chingsan Development bagi kerja substruktur tempat letak kereta di Shah Alam

Business & Finance
7 Feb 2024 • 6:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Econpile terima kontrak bernilai RM30 juta daripada Chingsan Development bagi kerja substruktur tempat letak kereta di Shah Alam

azan

07/02/2024 - 18:12

KUALA LUMPUR 7 Feb - Econpile Holdings Bhd menerusi Econpile (M) Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM30 juta daripada Chingsan Development Sdn Bhd bagi kerja-kerja substruktur bagi tempat letak kereta bawah tanah setinggi lima tingkat di Glenmarie, Shah Alam.

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak itu melibatkan pembinaan dan penyiapan kerja pembersihan tapak, kerja tanah, substruktur dan struktur untuk tempat letak kereta bawah tanah bermula B1 hingga B5 termasuk lantai tanah bawah 2 (LG2) untuk di sebuah blok pejabat 15 tingkat.


"Projek itu dijadualkan siap dalam tempoh 16 bulan bermula 24 Februari 2024," katanya.

Katanya, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan seterusnya.

Tiada risiko ketara yang boleh dijangka selain daripada risiko operasi yang berkaitan dengan projek itu semasa tempoh kontrak.

Pihak pengurusan syarikat akan melaksanakan langkah kawalan dan prosedur operasi untuk mengurangkan kesan atau kemungkinan kejadian tersebut.

"Tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam projek itu," katanya. - DagangNews.com