EcoWorld Development miliki kunci kira-kira kukuh, kedudukan baik dalam sektor hartanah, kata Maybank IB
diyana
15/05/2023 - 11:27
KUALA LUMPUR 15 Mei - Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Development) mempunyai kunci kira-kira lebih kukuh dan kedudukan yang baik dalam sektor hartanah.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata kumpulan itu mempunyai kunci kira-kira kukuh selepas berhadapan dengan hutang yang tinggi, di mana penggearan bersih telah memuncak pada 0.79 kali pada suku pertama tahun kewangan 2019 (1QFY19) berikutan perbankan tanah yang agresif dan kelemahan permintaan dalam pasaran hartanah tempatan.
Firma penyelidikan itu berkata kumpulan tersebut tidak terjejas oleh sekatan COVID dan telah bertindak balas dengan cepat menggunakan media sosial dan platform pemasaran dalam talian.
“Ia juga telah melancarkan produk unik iaitu Core Home dan Ergo Home dalam tempoh yang sama untuk menangani isu kemampuan dan keperluan fleksibiliti pembeli.
Ini mempamerkan kreativiti bahagian pengurusan dan mengukuhkan kedudukan utamanya dalam ruang hartanah, pada pandangan kami,” katanya.
Selain itu, kumpulan itu memberi keutamaan dalam perbankan tanah bagi pertumbuhan pendapatan jangka panjang yang dijangka menambah baik penggearan bersih kepada 0.28 kali.
Firma itu berkata kumpulan tersebut mengutamakan pertumbuhan pendapatan jangka panjang berbanding hasil dividen buat masa ini, di mana pengagihan khas berjumlah RM243 juta daripada syarikat bersekutu kumpulan itu, Eco World International Bhd, akan disimpan untuk perbankan tanah.
“Penggearan bersih kumpulan dijangka bertambah baik kepada 0.28 kali dengan pengagihan khas RM243 juta daripada EcoWorld International.
Dengan pemfaktoran pengagihan khas, EcoWorld Development mempunyai jumlah hutang sebanyak RM1 bilion hingga RM1.5 bilion sebelum mencapai sasaran penggearan bersih dalamannya sebanyak 0.5 hingga 0.6 kali,” tambahnya dalam nota hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata kumpulan tersebut sedang giat mencari tanah baharu di Lembah Klang dan Johor dengan keluasan 200 hingga 300 hektar untuk pembangunan pembandaran dan perindustrian.
Menurut firma itu, kumpulan itu mempunyai baki bank tanah seluas 3,227 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM55.4 bilion yang boleh bertahan sekurang-kurangnya lapan tahun.
“Dengan kebanyakan projeknya matang dan kunci kira-kira yang sihat iaitu penggearan bersih 0.33 kali pada Januari 2023, kumpulan itu kini sedang mencari untuk menambah simpanan tanahnya,” katanya
Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.02 sesaham bagi mencerminkan mencerminkan kunci kira-kira yang bertambah baik dan kedudukan utama kumpulan dalam ruang hartanah. -DagangNews.com.

