ECRL: 30 terowong selesai dikorek, MRL yakin projek siap Disember 2026

12 Mar 2024 • 2:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ECRL: 30 terowong selesai dikorek, MRL yakin projek siap Disember 2026

herman

12/03/2024 - 14:46

KUALA LUMPUR 12 Mac - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencapai kejayaan baharu apabila 30 terowong di sepanjang jajarannya sejauh 665 kilometer (km) siap dikorek.

Ini termasuk penembusan tiga terowong dalam satu hari di daerah Bentong semalam sekali gus berjaya mencatat penembusan lebih awal daripada jadual menerusi kaedah “gerudi dan letup”.

Tiga terowong ECRL itu ialah 'Terowong Bentong 1' yang sepanjang 561 meter, 'Terowong Kampung Lentang 1' (270 meter) dan 'Terowong Kampung Lentang 2' (478 meter).

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pencapaian ini didokong dengan teknologi pengorekan terowong yang canggih serta dedikasi dan kerjasama erat pasukan ECRL.

“Kami optimis pembinaan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke ITT Gombak akan siap pada Disember 2026.

"Ini memandangkan kerja-kerja pengorekan terowong yang agak mencabar dan kebergantungan keadaan geologi telah berjalan dengan lancar dan mengikut jadual,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengenai kemajuan ECRL, Darwis berkata ia telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 62.40 peratus setakat Februari 2024.

"Ini disokong oleh kerja-kerja infrastruktur yang pesat termasuk pengorekan terowong, pelancaran rasuk jejambat, pemasangan landasan dan pembinaan stesen," jelasnya.

Pembinaan terowong ECRL di daerah Bentong akan membolehkan landasan kereta api mematuhi kecerunan maksimum sebanyak 0.9 peratus serta mengurangkan penebangan hutan terbuka dan meminimumkan kesan terhadap hidupan liar di kawasan tersebut.

Projek ECRL merangkumi pembinaan 41 terowong dengan jarak keseluruhan kira-kira 69 km di sepanjang jajarannya, di mana 21 terowong terletak di Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) dan Seksyen B (Dungun-Mentakab) manakala sebanyak 20 terowong berada di Seksyen C (Mentakab-Port Klang).

Daripada 41 terowong di sepanjang jajaran ECRL, kerja-kerja pengorekan bagi kesemua 21 terowong di Seksyen A dan Seksyen B telah selesai sejak Ogos 2023, manakala sembilan terowong di Seksyen C juga turut selesai sehingga kini.

Untuk rekod, Projek ECRL telah mencatatkan penembusan terowong pertamanya yang sepanjang 1.1 km di Terowong Paka, Terengganu pada April 2021.- DagangNews.com