ECRL sempurnakan pemasangan penuh Sistem CIS pertama di stesen KotaSAS

LocalTechnology
30 May 2025 • 5:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ECRL sempurnakan pemasangan penuh Sistem CIS pertama di stesen KotaSAS

image is not available

30/05/2025 - 17:06

(Dari kiri ke kanan) : Ketua Seksyen 14 CCC-ECRL, Li Qun, Pengarah Projek CCC-ECRL, Kong Qi, Pengarah Urusan CCC-ECRL, Deng Bo, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Sri Darwis Abdul Razak, Pengarah Projek MRL, Ir. Ts. Noor Azlan Salleh, Timbalan Pengarah Projek (Sistem), Jeflysham Osman. Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 30 Mei – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat kemajuan apabila pemasangan penuh Sistem Komunikasi, Informasi dan Semboyan (CIS) berjaya disempurnakan di Stesen ECRL KotaSAS, menjadikannya stesen pertama dilengkapi sistem berteknologi tinggi itu.

Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), Deng Bo berkata, kejayaan dengan kerjasama Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) selaku pemilik projek menandakan permulaan pelaksanaan teknologi rel pintar di sepanjang jajaran 665 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor.

"Sitem CIS berperanan sebagai 'sistem saraf dan otak' kepada operasi rel kerana ia menjamin keselamatan, kecekapan serta kelancaran perkhidmatan kereta api menerusi pelbagai fungsi pintar.

"Penilaian Artikel Pertama (First Article Assessment) yang dijalankan di Stesen KotaSAS menjadi penanda aras penting dari segi kualiti dan kebolehlaksanaan untuk pemasangan sistem sama di baki 20 stesen ECRL," katanya dalam satu kenyataan.

Pemasangan sistem itu bermula pada 15 Mac lalu dan disiapkan sepenuhnya 20 Mei, melibatkan empat bilik teknikal utama yang mengendalikan rangkaian komunikasi, sistem data dan pengawasan, kawalan pergerakan tren serta perlindungan kilat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, CIS akan menjadi tulang belakang kepada fasa operasi dan penyelenggaraan (O&M) projek berkenaan.

"Sistem ini mengawal keseluruhan pergerakan tren dan operasi stesen dengan keutamaan kepada aspek keselamatan, kecekapan, dan kebolehpercayaan.

"ECRL kini dalam fasa persiapan menjelang ujian dan pentauliahan yang dijadual bermula Jun 2026," katanya.

Setakat April, projek ECRL mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 82.45% dengan negeri Pahang merekodkan kadar penyempurnaan tertinggi iaitu 84.96%.- DagangNews.com

standard