ECRL ‘talian hayat’ selamatkan Rantau Panjang

LocalBusiness & Finance
11 Oct 2026 • 7:51 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ECRL ‘talian hayat’ selamatkan Rantau Panjang

RANTAU PANJANG: Sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang berpotensi menghidupkan semula ekonomi sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini yang semakin tenat, sekali gus menjadi ‘talian hayat’ baharu buat seluruh penduduk di kawasan itu.

Anak jati Rantau Panjang, Mohd. Ridzuan Muhammad, 46, menaruh harapan tinggi agar stesen berkenaan ditempatkan secara strategik di dalam kawasan zon perdagangan bebas tersebut.

Katanya, stesen itu boleh dibina dalam kawasan sedia ada yang diwartakan semula atau menerusi pembangunan zon baharu yang bersepadu bagi memastikan kemudahan ber­kenaan benar-benar menyokong kegiatan ekonomi setempat.

“Adalah sangat penting agar landasan dan stesen ini masuk dan berhenti terus di nadi zon perdagangan bebas dahulu, bukannya dilencongkan atau dibina di luar kawasan komersial tersebut.

“Pembinaan stesen di luar atau terlalu jauh dari pusat bandar dan zon bebas cukai dikhuatiri menghilangkan kelebihan logistik serta pelancongan yang sepatutnya dinikmati peniaga, pelancong dan penduduk tempatan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Image from: ECRL ‘talian hayat’ selamatkan Rantau Panjang
MOHD. RIDZUAN MUHAMMAD

Mohd. Ridzuan yang juga seorang peguam bela berkata, langkah itu juga mampu membuka peluang kepada Rantau Panjang untuk berkembang sebagai hab perdagangan sempadan bertaraf antarabangsa.

Katanya, situasi itu sekali gus memperkukuh kegiatan ekonomi di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Nasran Nasuha, 30, berkata, sambungan ECRL bukan sekadar kemudahan pengangkutan baharu sebaliknya berpotensi menjadi pemangkin untuk menarik semula pengunjung ke kawasan zon bebas cukai itu.

“Rantau Panjang yang sekian lama dikenali sebagai destinasi membeli-belah dan tumpuan perdagangan sempadan kini berdepan cabaran apabila kegiatan perniagaan semakin suram, sekali gus memberi tekanan kepada peniaga yang bergantung pada kehadiran pelanggan.

“Jadi besar harapan saya agar usaha ini dapat melonjakan semula kegiatan ekonomi di kawasan Rantau Panjang yang sebenarnya mempunyai potensi cukup besar jika dimanfaatkan sebaik mungkin,” ujarnya.

Image from: ECRL ‘talian hayat’ selamatkan Rantau Panjang
NASRAN NASUHA

Nasran berkata, sebagai penduduk asal Rantau Panjang, dia sangat berharap satu kajian dapat dibuat terlebih dahulu untuk menilai potensi yang ada di sini bagi memastikan pemba­ngunan dirancang tidak menjadi sia-sia.

Kelmarin, Perdana Mente­ri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2027 berkata, Malaysia dan China sepakat untuk menyam­bung laluan Projek ECRL sehingga Rantau Panjang.

Beliau berkata, Fasa 1 ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dijangka mula beroperasi Disember ini. Bagi memudahkan pergerakan penduduk Kelantan, sebuah stesen bas akan dibina di stesen ECRL Kota Bharu.

Kerajaan turut menyediakan RM270 juta bagi menambah baik perkhidmatan bas henti-henti di bandar utama termasuk menghubungkan 15 stesen di Pantai Timur menjelang pengoperasian ECRL. – UTUSAN

The post ECRL ‘talian hayat’ selamatkan Rantau Panjang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved