
SEREMBAN: Seorang bekas pekerja hotel dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis kanabis seberat 944.72 gram pada April 2020.
Hakim Datin Rohani Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Ilham Utama Sawai Suardi, 29, setelah selepas menimbang hujah pihak pembelaan dan pihak pendakwaan.
Bagi pertuduhan pertama, Ilham Utama dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana memiliki kanabis seberat 10.58 gram di kawasan tempat letak kereta di sebuah hotel pada kira-kira 3.30 petang, 12 April 2020.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan. Bagaimanapun, hakim memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh ditangkap bagi kesemua pertuduhan.
Ilham Utama dituduh mengedar dadah itu seberat 373.8 gram iaitu kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama, pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.
Selain itu, dia turut didakwa di bawah seksyen dan akta yang sama kerana mengedar dadah kanabis seberat 560.34 gram pada tarikh yang sama pada 4.15 petang di Taman Temiang Jaya di sini.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ala'uddin Baharom manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan. -Bernama
