eFishery: Pelaburan KWAP RM200 juta disiasat SPRM

LocalBusiness & Finance
18 Jul 2026 • 3:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: eFishery: Pelaburan KWAP RM200 juta disiasat SPRM
Abd Halim Aman

PUTRAJAYA - Pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjumlah kira-kira RM200 juta dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Sri Abd Halim Aman berkata, satu pasukan telah ditubuhkan pada Jumaat bagi mengkaji dan meneliti isu berkenaan secara menyeluruh.

Beliau berkata, siasatan itu akan dijalankan secara adil, telus dan saksama berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai siasatan ini bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga integriti proses siasatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan pelaburan dalam eFishery dibuat melalui proses penilaian dan tadbir urus berdasarkan maklumat tersedia, termasuk pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.

Anwar berkata, konsortium pelabur termasuk KWAP turut melaksanakan usaha wajar bebas bagi memastikan semua maklumat berkaitan lengkap dan sahih sebelum keputusan pelaburan dibuat.

KWAP dilaporkan melabur AS$47.7 juta (kira-kira RM200 juta) dalam eFishery pada Julai 2023.

eFishery merupakan syarikat pemula niaga teknologi akuakultur yang membangunkan penyelesaian digital bagi memodenkan industri penternakan ikan dan udang.

Tahun lalu, pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah di Bandung, Indonesia, selepas disabitkan kesalahan melakukan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved