EG Industries terima pesanan pembelian RM547 juta daripada pelanggan utama
herman
19/07/2024 - 14:41
KUALA LUMPUR 19 Julai - Anak syarikat milik penuh EG Industries Bhd, SMT Technologies Sdn Bhd memperoleh pesanan pembelian (PO) yang disahkan bernilai AS$117 juta (kira-kira RM547 juta) untuk produk berkaitan fotonik 5G daripada pelanggan utama sedia ada.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu berkata, pelanggan tersebut meruapakan peneraju industri global yang mempunyai kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan industri dan pembuatan termaju.
Antaranya melibatkan modul optik dan jalur lebar akses tanpa wayar dan pengkomputeran termaju.
"SMT Technologies Sdn Bhd pada 5 Jun memperoleh PO bernilai AS$117 million produk berkaitan fototonik 5G daripada pelanggan utama sedia ada yang dirujuk sebagai "Pelanggan C"," katanya hari ini.
Sementara itu, EG Industries berkata, pesanan pembelian itu dijangka dipenuhi secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Kumpulan tersebut turut memaklumkan kemungkinan menghadapi beberapa faktor risiko yang berkaitan dengan pesanan pembeliau termasuk, tetapi tidak terhad kepada, penangguhan pesanan oleh Pelanggan C dan ketersediaan bahan mentah yang tepat pada masanya daripada pembekal.
"Walaupun kumpulan secara aktif berusaha untuk mengurangkan risiko ini, adalah penting untuk ambil perhatian bahawa sebarang perubahan dalam faktor ini masih boleh memberi kesan buruk yang ketara kepada perniagaan dan operasi kumpulan EG," katanya.
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, phototonik atau fotonik merupakan teknologi sensor yang mengesan, menghantar, melepas dan memanipulasi cahaya atau foton. Fotonik melibatkan penggunaan laser, optik, gentian optik dan elektro-optik dalam banyak bidang seperti pembuatan, perubatan, telekomunikasi dan pertanian. - DagangNews.com
