EGM Sunway undi teruskan pengambilalihan IJM

Business & Finance
29 Mar 2026 • 7:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sunway Berhad memperoleh kelulusan pemegang sahamnya berhubung cadangan pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas IJM Corporation Bhd. Gambar kecil: Jeffrey Cheah

SHAH ALAM - Sunway Berhad memperoleh kelulusan pemegang sahamnya berhubung cadangan pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas IJM Corporation Bhd dengan 99.97 peratus undian menyokong semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada Khamis.

Undian itu menandakan langkah penting bagi Sunway Berhad yang melancarkan tawaran pengambilalihan pada 12 Januari lalu bagi memperoleh IJM Corporation Berhad pada harga RM3.15 sesaham atau dalam urus niaga bernilai RM11 bilion.

Pengasas dan Pengerusinya, Tan Sri Sir Dr Jeffrey Cheah berkata, hampir semua pemegang saham yang hadir dalam mesyuarat tersebut mengundi untuk meneruskan tawaran pengambilalihan itu.

“Sunway juga yakin ia dapat menjana nilai lebih tinggi daripada aset IJM Corporation Berhad di bawah entiti gabungan.

“Tawaran itu juga membolehkan pemegang saham IJM terus melabur dalam kumpulan hasil penggabungan melalui saham Sunway, dan pada masa sama menerima 10 peratus daripada pertimbangan secara tunai,” katanya.

Terdahulu, Sunway Berhad membuat tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat bagi kesemua 3.51 bilion saham dalam IJM Corporation Berhad pada harga RM3.15 sesaham, dengan tarikh akhir penerimaan ditetapkan pada 6 April.

Bagaimanapun pada awal bulan ini, Permodalan Nasional Berhad (PNB) selaku pemegang saham kedua terbesar IJM, memutuskan untuk tidak menerima tawaran tersebut bagi pegangan 13.5 peratus miliknya dalam konglomerat berkenaan.

Untuk rekod, Sunway perlu memperoleh pegangan ekuiti sekurang-kurangnya 50 peratus ditambah satu saham dalam IJM bagi membolehkan tawaran pengambilalihan itu berkuat kuasa.

Namun untuk menyahsenarai IJM secara mandatori dan menjadikannya syarikat persendirian, Sunway memerlukan kelulusan 90 peratus pemegang saham, satu ambang yang dilihat sukar dicapai susulan penolakan PNB.

Pada mesyuarat sama Cheah turut memaklumkan, kumpulan itu menerima surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membersihkan nama lembaga pengarah daripada sebarang salah laku dalam siasatannya berhubung cadangan urusniaga tersebut.