HULU SELANGOR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersetuju menyediakan subsidi RM150 kepada majikan di 28 mukim yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kota Setar, Kedah untuk menjalankan ujian saringan koronavirus (Covid-19) terhadap pekerjanya bermula hari ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, tuntutan di bawah subsidi Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu akan diberi kepada majikan yang telah mencarum pekerja mereka dengan pertubuhan tersebut.
“Pekerja di (PKPD Pentadbiran) Kota Setar boleh menjalani ujian saringan Covid-19 melalui klinik-klinik yang ditentukan (diluluskan Kementerian Kesihatan) dan majikan di semua sektor pekerjaan boleh tuntut RM150 untuk setiap pekerjanya daripada Perkeso.
“Ujian saringan ini juga termasuk pekerja asing yang majikan tersebut mencarum pekerjanya dengan Perkeso,” katanya pada sidang akhbar Karnival PenjanaKerjaya (PenjanaKerjaya) KSM Hulu Selangor 2020 di sini hari ini.
Saravanan berkata, ujian saringan di klinik-klinik terpilih itu boleh dilakukan sehingga 25 September ini.
PKPD Pentadbiran di 28 mukim di Kota Setar dikuatkuasakan sejak semalam hingga 25 September ini membabitkan seramai 366,787 penduduk secara keseluruhan.
Pelaksanaan PKPD Pentadbiran itu diputuskan pada mesyuarat khas kerajaan pada Khamis lepas selepas mengambil kira peningkatan kes positif Covid-19 Kluster Sungai dan Kluster Telaga di daerah berkenaan.
Sebelum ini, PSP Perkeso di bawah KSM yang berkuat kuasa 1 Jun lepas hanya menyasarkan pekerja asing dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Selangor untuk menjalani ujian saringan Covid-19.
KSM, Kementerian Kesihatan Malaysia serta Kementerian Kerja Raya sebelum ini juga bersetuju supaya skop PSP Perkeso diperluaskan dengan menambah bilangan penyedia perkhidmatan ujian saringan Covid-19.


