
EJEN bola sepak meraih bayaran yuran tertinggi dalam sejarah pada 2025, menurut Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam satu kenyataan pada Khamis, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Antara 1 Januari hingga 1 Disember, bayaran yuran ejen daripada perpindahan pemain lelaki mencecah AS$1.37 bilion, jauh melebihi rekod sebelum ini sebanyak AS$889.4 juta yang dicatatkan pada 2023.
Menurut FIFA, bayaran ejen itu dibayar oleh kelab-kelab bola sepak Eropah.
Kelab Inggeris muncul sebagai penyumbang terbesar dengan bayaran melebihi AS$375 juta kepada ejen pemain, manakala kelab Jerman berada di tempat kedua dengan jumlah sekitar AS$165 juta.
Rekod baharu turut dicatatkan dalam bola sepak wanita, dengan jumlah bayaran kepada ejen mencecah AS$6.2 juta, iaitu dua kali ganda berbanding 2024 dan 13 kali lebih tinggi berbanding 2020, menurut FIFA.
Setakat 4 Disember, terdapat 10,525 ejen pemain berlesen di seluruh dunia, menurut FIFA. - Bernama-dpa

