
LAUT bukan sekadar tempat nelayan mencari rezeki. Laut juga sumber makanan, laluan perdagangan, tarikan pelancongan dan ruang untuk mencipta pelbagai peluang pekerjaan.
Namun, persoalan pentingnya ialah sejauh mana kekayaan laut benar-benar membawa manfaat kepada kehidupan rakyat?
Memiliki sumber alam yang kaya tidak semestinya menjadikan masyarakat lebih makmur. Perkara lebih utama ialah bagaimana sumber itu diurus dan dimanfaatkan supaya hasilnya dapat dinikmati bersama, tanpa merosakkan alam sekitar.
Inilah yang dimaksudkan dengan Ekonomi Biru iaitu usaha memanfaatkan kekayaan laut dan sumber perairan untuk meningkatkan pendapatan, membuka peluang pekerjaan dan memperbaiki kehidupan masyarakat sambil memastikan sumber tersebut terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Ekonomi Biru bukan hanya berkaitan perikanan. Bidang berkenaan turut merangkumi penternakan ikan atau akuakultur, industri perkapalan, pelancongan pesisir, penyelidikan marin dan penghasilan produk berasaskan sumber laut.
Berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), nilai subsektor perikanan meningkat daripada RM11.3 bilion pada 2020 kepada RM11.8 bilion pada 2024, dengan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 1.2 peratus.
Dalam sektor maritim pula, jumlah kendalian kontena di pelabuhan negara turut meningkat daripada 25.973 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada 2020 kepada 29.863 juta TEU pada 2024.
Sementara itu, jumlah pengunjung taman laut meningkat daripada 20,000 orang pada 2021 kepada 586,000 orang pada 2024.
Angka ini menunjukkan bahawa laut mempunyai peranan besar dalam pelbagai kegiatan ekonomi. Cabarannya adalah untuk memastikan pertumbuhan tersebut turut membawa manfaat kepada masyarakat, khususnya penduduk di kawasan pesisir.
Bayangkan hasil tangkapan nelayan bukan sahaja dijual begitu sahaja tetapi turut diproses, dibungkus dan dipasarkan sebagai produk yang mempunyai nilai lebih tinggi.
Usaha seperti ini berpotensi membuka peluang perniagaan, menambah pendapatan dan mengurangkan pembaziran hasil laut.
Data Banci Pertanian 2024 yang diterbitkan Jabatan Perikanan merekodkan pengeluaran akuakultur ikan marin dan ikan air tawar sebanyak 484,300 tan metrik. Banci yang sama turut merekodkan 6.5 bilion ekor bagi kategori baka dan benih ikan serta ikan hiasan.
Angka ini menggambarkan skala pengeluaran akuakultur negara dan peluang untuk mengembangkan kegiatan ekonomi berkaitan. Namun, pengeluaran yang tinggi sahaja belum mencukupi. Pengusaha juga memerlukan modal, teknologi, latihan, kemudahan penyimpanan dan akses kepada pasaran.
Nelayan dan pengusaha kecil perlu dibantu supaya bukan sekadar menjadi pembekal bahan mentah tetapi turut berpeluang menghasilkan produk yang memberikan pulangan lebih baik. Koperasi, pemasaran secara langsung dan penggunaan platform digital boleh diteroka mengikut keperluan komuniti setempat.
Golongan muda juga perlu melihat sektor laut sebagai bidang kerjaya yang luas termasuk teknologi marin, kejuruteraan, akuakultur moden, penyelidikan, logistik dan pelancongan. Dengan kemahiran yang sesuai, mereka boleh menjadi tenaga mahir, usahawan dan pencipta inovasi dalam ekonomi berasaskan laut.
Pada masa sama, kita tidak boleh mengejar keuntungan sehingga mengabaikan kelestarian laut. Apabila sumber perikanan dan kawasan pesisir terjejas, kesannya bukan sahaja terhadap alam sekitar, malah turut menjejaskan pendapatan nelayan, bekalan makanan dan kehidupan masyarakat.
RMK13 merekodkan 5.4 peratus kawasan marin Malaysia diwartakan sebagai kawasan perlindungan marin sehingga 2024. Usaha melindungi kawasan ini perlu terus diperkukuh bersama pengurusan sumber yang bertanggungjawab dan penggunaan teknologi yang sesuai.
Kita perlu memastikan kekayaan laut dapat dimanfaatkan hari ini tanpa mengurangkan peluang generasi akan datang untuk mencari rezeki daripadanya.
Pembangunan ekonomi dan penjagaan alam sekitar bukan dua perkara yang bertentangan, malah perlu bergerak seiring.
PERANAN UNIVERSITI
Sebagai universiti yang memberi tumpuan kepada bidang marin dan maritim, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepakaran melalui penyelidikan, pembangunan teknologi dan penghasilan bakat.
Penyelidikan perlu membantu menyelesaikan masalah sebenar termasuk meningkatkan kecekapan akuakultur, mengurangkan pembaziran, memperkukuh rantaian bekalan dan mengenal pasti cara meningkatkan pendapatan komuniti.
Untuk itu, kerjasama antara universiti, industri, kerajaan dan masyarakat amat penting supaya hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan di lapangan.
Usaha ini selari dengan aspirasi UMT untuk menerajui agenda Ekonomi Biru negara, bukan sahaja melalui kecemerlangan ilmu tetapi juga melalui sumbangan yang dirasai oleh industri dan masyarakat.
Kejayaan Ekonomi Biru bukan sekadar dilihat pada jumlah pelaburan atau pertumbuhan industri tetapi kita juga perlu bertanya adakah pendapatan masyarakat meningkat? Adakah lebih banyak pekerjaan diwujudkan? Adakah pengusaha kecil berpeluang berkembang? Dan adakah sumber laut terus terpelihara?
Penyelesaian ini memerlukan kesepakatan rentas agensi termasuk kerajaan, industri, universiti dan masyarakat masing-masing mempunyai peranan untuk memastikan peluang ekonomi dapat dimanfaatkan secara bersama.
Bagi saya, kekayaan laut hanya benar-benar bermakna apabila manfaatnya sampai kepada rakyat. Laut bukan sekadar warisan alam yang perlu dipelihara tetapi juga sumber rezeki dan peluang untuk membina masa depan yang lebih baik.
Ekonomi Biru yang berjaya bukan hanya menjana kekayaan daripada laut tetapi memastikan kekayaan itu turut memakmurkan kehidupan masyarakat secara amnya. –UTUSAN
PROFESOR Dr. Suriyani Muhamad ialah Naib Canselor, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
The post Ekonomi Biru mesti memakmurkan rakyat appeared first on Utusan Malaysia.



