
BEIJING: Biro Statistik Negara (NBS) China baru-baru ini mengeluarkan keputusan penyelidikan mengenai polisi membendung wabak, dasar ekonomi makro dan kadar kerugian beberapa negara.
Menurut data itu meskipun China melaksanakan dasar pembendungan wabak yang ketat mulai 2020 sehingga setengah pertama tahun ini, kadar kerugian ekonomi hanya mencatatkan sebanyak 2.3 peratus.
Sementara, kadar kerugian ekonomi di bawah dasar pembendungan wabak di Jepun dan Korea Selatan mencatatkan rekod 3.9 peratus, di Jerman dan Perancis (5.5 peratus) manakala di Amerika Syarikat (AS) dan Britain (5.9 peratus).
Pada masa sama, dasar 'dinamik sifar COVID-19' yang diamalkan oleh kerajaan China berjaya mengurangkan kos tenaga dan sosioekonomi, sekali gus menstabilkan ekonomi secara keseluruhan.
Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) berkata nisbah produk China dalam jumlah nilai eksport sejagat menokok 15 peratus pada 2021 berbanding 13 peratus pada 2019.
“Pada 2020 iaitu ketika baru tercetusnya wabak Covid-19, 83 peratus pelitup muka yang diimport oleh AS adalah dari China, dua pertiga baju pelindung adalah dari China dan 90 peratus peti sejuk yang khusus untuk menyimpan vaksin adalah dari China,“ menurut UNCTAD.
Pencegahan dan pengawalan wabak China memainkan peranan besar dalam menstabilkan rantaian perindustrian dan pembekalan global, sekali gus memenuhi keperluan pembendungan wabak seluruh dunia.
Berdasarkan statistik Kementerian Perdagangan China baru-baru ini, jumlah penggunaan modal asing di negara ini mencatat RMB798.33 bilion (RM519.48 bilion) pada Januari hingga Julai, meningkat 17.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Untuk rekod, empat negara pelabur utama China ialah Amerika Syarikat (AS), Jepun, Korea Selatan dan Jerman. Pelaburan dari AS menyaksikan peningkatan sebanyak 36.3 peratus.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini ini turut menaikkan kadar RMB dalam Hak Pengeluaran Khas (SDR) dari 10.92 ke 12.28 peratus, yang turut mencerminkan keyakinan dunia terhadap kestabilan ekonomi dan pasaran kewangan China.
Selain itu, Indeks Harga Pengguna (IHP) China menokok 1.7 peratus, jauh lebih rendah berbanding Eropah dan AS.-Bernama


