Ekonomi Malaysia berkembang sederhana 2.9% pada suku kedua 2023 – DOSM

Business & Finance
18 Aug 2023 • 2:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ekonomi Malaysia berkembang sederhana 2.9% pada suku kedua 2023 – DOSM

diyana

18/08/2023 - 14:11

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Ekonomi Malaysia berkembang sederhana kepada 2.9% dalam suku kedua 2023, selepas mencatat pertumbuhan 5.6% pada suku pertama.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin pertumbuhan pada suku ini disokong oleh pasaran buruh yang bertambah baik, peningkatan permintaan dalam negeri yang berterusan dan aktiviti pelancongan yang semakin rancak.

“Namun, pengurangan permintaan luar negeri dalam keadaan kitaran menurun teknologi global dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

image is not available
Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin bersama Gabenor BNM, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour pada sidang media hari ini

“Pertumbuhan tahunan yang lebih perlahan pada suku ini turut mencerminkan kesan asas yang tinggi dari suku kedua 2022 selepas pembukaan semula ekonomi negara dan kesan daripada pelaksanaan beberapa langkah dasar,” ujar beliau pada sidang media bersama Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan prestasi KDNK suku kedua 2023 hari ini.

Dari segi pertumbuhan suku tahun ke suku tahun pelarasan musim, Mohd Uzir berkata KDNK menunjukkan peningkatan momentum pertumbuhan yang lebih kukuh sebanyak 1.5%, iaitu peningkatan berterusan sejak suku keempat 2022.

Jelasnya, tiga sektor terus mencatatkan pertumbuhan pada suku kedua ini, iaitu sektor perkhidmatan (4.7%), sektor pembinaan (6.2%) dan sektor pembuatan (0.1%), manakala dua sektor mencatatkan penyusutan iaitu sektor pertanian (1.1%) dan sektor perlombongan (2.3%).

“Dari segi permintaan, pertumbuhan disokong oleh kedua-dua perbelanjaan sektor swasta dan awam. Pertumbuhan penggunaan swasta disokong oleh keadaan pasaran buruh yang kukuh.

“Manakala pertumbuhan dalam pelaburan keseluruhan bertambah baik, didorong oleh perbelanjaan modal ke atas struktur, dan mesin dan peralatan (M&E), serta perbelanjaan aset tetap kerajaan yang lebih baik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, eksport bersih bagi suku ini menguncup berikutan persekitaran global yang lebih mencabar. - DagangNews.com